Dalam era 1960-an, Lamborghini sudah mula memikirkan kereta prestasi tinggi untuk keluarga.
Model Gran Turismo atau GT itu memang akan menarik minat ramai kerana ia lebih praktikal, tetapi bagaimanakah sebuah kereta sport mampu mempunyai kabin yang luas untuk empat orang dewasa dan juga tempat letak barang?
Lamborghini meminta syarikat rekabentuk terkenal Bertone (bunyinya Ber-To-Ni) untuk mencari penyelesaian dan salah seorang perekabentuknya, Marcello Gandini berjaya menghasilkan sebuah bentuk GT yang sangat sporti.
Pada tahun 1968, Lamborghini melancarkan Espada di Pameran Motor Geneva, sebuah GT empat tempat duduk yang mempunyai kelajuan maksimum 260 kmsj.
Enjin 3,929cc V12 menggunakan enam karburetor Weber side-draft dan 24 injap dikawal dengan dua aci sesondol.
Tenaga maksimum - 350 hp.
Bunyi enjin - mengkagumkan.
Kotak gear manual disambung terus ke blok enjin. Namun begitu, Espada juga boleh dipasang dengan transmisi automatik 3-kelajuan dari Chrysler.
Ya, tiga-kelajuan seperti dalam Proton Wira 1.5L Aeroback Automatic.
Dari segi chassis, Espada menggunakan kerangka monocoque besi dengan sistem gantungan "fully independent" dengan "double wishbone" dan penyerap hentak hidraulik.
Keempat-empat brek adalah dari jenis brek cakera.
Roda aloi saiz 15-inci ialah dari jenama Campagnolo dan tempat isi minyak Espada ini disorok di belakang gril pada kedua-dua tiang-C kereta ini - ya, ia mempunyai dua tangki bahan api.
Lamborghini Espada menjadi model penyelamat syarikat Itali itu sepanjang 10 tahun ia dihasilkan (1969 - 1978).