Jentera lumba baharu itu didedahkan secara rasmi di Fuji International Speedway dan akan mula mendedahkan taringnya pada musim perlumbaan 2022.
Berbeza berbanding model jalanan, jentera lumba Z GT500 ini membawakan rekaan bampar hadapan baharu dengan splitter dan canard diperbuat daripada gentian karbon, arka roda yang jauh lebih lebar yang direka untuk menambahbaik aspek aerodinamik.
Rekaan sisi jentera ini menampilkan komponen skirt karbon yang agak kompleks, diikuti dengan pemasangan rim perlumbaan dengan sistem kekunci tengah, sayap belakang besar dengan rekaan leher angsa dan diffuser belakang yang agresif.
Tiada sebarang spesifikasi teknikal didedahkan, namun menurut peraturan, setiap jentera yang bertempur dalam kelas GT500 akan dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 650 hp.