Selangor bangunkan sistem pemantauan jalan pintar guna dron, kamera, AI

oleh Mohamad Hanif|
Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor (SRAMS) dilancar Rabu depan bagi memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas, menurut laporan SelangorKini.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

Sistem dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem) mengaplikasikan penggunaan kamera pintar di papan pemuka kenderaan, kamera 360, dron dan teknologi cerapan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Hasil cerapan dan analisa data diintegrasi dalam web yang kemudian dipancar terus ke pusat kawalan Selgem yang menjadi salah satu elemen penting dalam SRAMS,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Jelas syarikat itu, aplikasi tersebut juga mampu digunakan secara meluas oleh pelbagai agensi sekali gus mewujudkan keseragaman operasi bagi pengurusan jalan di Selangor.

Pelancaran sistem oleh anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu dijadual berlangsung di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri dan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan bawah SRAMS bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

Beliau berkata sistem itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan dengan kos penyelenggaraan mencecah RM1 bilion.

Penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian maklumat geografi bagi mengatasi isu berkaitan jalan raya antara perkara ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022.

Sumber: SelangorKini

Berita Berkenaan

Informasi
  Beliau berkata, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor…
Berita Domestik
  JAS menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan tindakan tersebut diambil dalam Ops Bersepadu…
Informasi
  Menurut Polis Selangor, dua laluan masing-masing di dua kawasan pentadbiran ibu pejabat polis…