Lebih mengujakan penulis apabila syarikat Singer yang sangat terkenal dengan projek restomod Porsche 911 klasik kini tampil dengan projek baharu, 911 Turbo Study Cabriolet!

Sama seperti projek yang terdahulu, Singer menyuntik elemen moden dalam rekaan 964 yang klasik itu, di mana panel badan luar kini menggunakan bahan gentian karbon yang dilapisi cat Cadiz Red.
Struktur bumbung fabrik boleh dilipat dengan menggunakan kuasa elektrik tanpa memerlukan anda keluar dari kereta untuk melipat sendiri bumbung tersebut.

Ruang kabin pula menampilkan paparan meter analog, gandingan corak berkotak-kotak berwarna merah yang dikontraskan dengan warna hitam pada bahagian panel pintu dan bahagian tengah tempat duduk, diikuti dengan trim kayu pada bahagian papan pemuka dan konsol tengah.
Kemudahan zaman moden turut dimuatkan seperti pengecasan peranti pintar di bahagian tengah.
Singer menawarkan dua tetapan kuasa enjin, tetapan suspensi, serta tempat duduk yang berbeza mengikut kehendak pembeli.

Enjin flat-six 3.8 liter turbo berkembar dengan sistem sejukan udara itu berupaya menghasilkan kuasa 450 hp atau talaan sehingga 510 hp yang dipadankan dengan transmisi manual, sementara sistem gantungan pula boleh ditetapkan untuk tujuan pemanduan yang sporti, atau tetapan touring yang lebih lembut.
Kuasa pemberhentian kereta sports klasik moden ini menggunakan brek jenis seramik karbon.
Menurut Singer, disebabkan permintaan yang tinggi, tempahan untuk model 964 Cabriolet ini (serta model 911 klasik lain) terpaksa ditutup buat sementara waktu.

Ini bermakna, anda perlu menunggu sehingga tempoh beberapa tahun sebelum tempahan 911 Turbo Study dibuka kembali.