Menurut laporan daripada Top Gear, Singer dikatakan akan menghentikan produksi model klasik Porsche 911 selepas tempoh 12 tahun.
Ketuanya, Rob Dickinson mengesahkan pihak mereka telah pun menghentikan tempahan bagi model Classic Porsche 911 bagi memberikan laluan kepada projek yang lebih besar.
Menurutnya lagi, angka produksi dihadkan kepada 450 unit, dan angka tersebut sebenarnya tidak pernah dirancang sejak beliau memulakan operasi syarikat itu lebih sedekad yang lalu.

Ia juga bukanlah disebabkan oleh masalah kekurangan sumber Porsche 964.
Dickinson menjelaskan dengan mengehadkan produksi Classic Porsche 911 akan mengekalkan nilai model yang telah mereka bina sebelum ini.
"Kami mahu menghormati para pelanggan yang telah membeli kereta kami, dan mengekalkan nilai kereta tersebut sekiranya berlaku proses pindah milik, yang saya fikir lebih berkait dengan tanggapan Singer sebagai sebuah jenama melebihi kualiti sebuah kereta," ujarnya.
Selepas produksi Classic Porsche 911 tamat, Singer akan menumpukan perhatian kepada projek Singer Turbo, di mana model Porsche 911 yang dibina oleh Singer akan menggunakan nadi flat-six 3.8 liter turbo berkembar sejukan udara yang mapu menjana kuasa setinggi 450 hingga 510 hp.