Versi yang dipamerkan ini hampir menyamai model produksi sebenar, di mana ia merupakan sebuah EV pertama semenjak Smart mengumumkan untuk tidak menawarkan model berenjin pembakaran dalam pada tahun 2019.

Dari segi dimensi, Smart Concept #1 ini membawakan ukuran sepanjang 4,290 mm, lebar 1,910 mm, dan tinggi 1,698 mm dengan menggunakan platform daripada Geely.
Cuma dari segi rekaan, ia membawakan sedikit persamaan dengan model Mercedes-Benz EQA yang diumumkan pada awal tahun lalu, memandangkan rekaan Smart Concept #1 sememangnya hadir dari Mercedes-Benz.

Unit lampu utama direka tirus sama seperti lampu belakang, di mana ia dihubungkan dengan jalur LED serta efek pencahayaan yang tersendiri, sementara tiang C direka supaya menampakkan seakan rekaan bumbung terapung.
Ketiadaan struktur tiang B pula dijawab menerusi bukaan pintu jenis suicide pada sisi kiri dan kanan kenderaan yang boleh diaktifkan (dibuka) menerusi sentuhan sahaja.

Meskipun saiz yang kompak, kelebihan yang ada pada platform EV Smart Concept #1 ini membolehkan kedudukan roda 'ditolak' jauh ke sudut untuk penawaran ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan sehingga lima orang pada satu-satu masa.
Ia juga turut disumbangkan dengan penggunaan bumbung suria panorama yang besar membolehkan lebih banyak cahaya masuk.

Rekaan konsol tengah dibuat supaya bersambung secara terus dengan papan pemuka yang menempatkan skrin infotainmen sebesar 12.8 inci jenis terapung.
Tiada sebarang perincian berhubung trenkuasa elektrik yang digunakna, namun Smart menyatakan SUV ini menampilkan sistem bantuan pemanduan termaju, serta keupayaan untuk mengemaskini perisian secara over-the-air.
Versi produksi Smart Concept #1 ini bakal muncul di Eropah dan China menjelang tahun 2023.