Menurut temubual yang dijalankan oleh penerbitan Jepun Impress Watch, ketua projek Vision-S, Izumi Kawanishi mengesahkan bahawa Sony Vision-S bukanlah petanda Sony akan menceburkan diri dalam dunia automotif.
"Sony Vision-S merupakan sumbangan Sony dalam evolusi industri automotif," ujarnya.
Kawanishi menyifatkan bahawa konsep yang ditonjolkan oleh Vision-S mampu memberikan kesan terutama dalam bidang pemanduan autonomi dan juga sistem hiburan di dalam kenderaan.
Sony Vision-S merupakan sebuah kenderaan elektrik yang dilengkapkan dengan 33 unit penderia sekaligus membolehkan ia mempunyai keupayaan pemanduan autonomi.
Manakala ruang kabin pula memperlihatkan kepakaran Sony dalam menghasilkan efek bunyi keliling menerusi sistem 360 Reality Audio.
Terdapat skrin panorama yang terletak di papan pemuka dan skrin tersendiri untuk penumpang belakang.