Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara, berkata Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) dipengerusikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju meluluskan SOP Sambutan Tahun Baharu Cina yang telah ditambah baik, hari ini.
Kata kenyataan itu, mesyuarat juga bersetuju untuk membenarkan aktiviti keagamaan di rumah ibadat pada 11, 12 dan 19 Februari tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti berikut:
- Bilangan kehadiran penganut di rumah ibadat tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa dengan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
- Tempoh waktu sembahyang adalah selama 30 minit dan diselangi dengan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit sebelum waktu sembahyang yang berikutnya.
- Jadual waktu sembahyang adalah bermula daripada jam 6.00 pagi hingga 2.00 petang sahaja.
- Aktiviti sembahyang pada 19 Februari dibenarkan di halaman rumah masing-masing pada waktu malam mengikut tradisi perayaan Tahun Baru Cina bagi “Hokkien Clan”.
Sementara itu, kenyataan itu juga menyebut, Pegawai Pemantau yang dilantik di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] akan melakukan pemantauan pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
Dalam pada itu, menurut kenyataan itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique, menyeru masyarakat Cina di Malaysia untuk mematuhi SOP ketika menyambut perayaan dalam norma baharu tahun ini.
"Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan, jaga kebersihan diri dan pastikan penjarakan fizikal dalam usaha kita memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia," katanya dalam kenyataan itu.