Pertengahan 80-an, ia diganti dengan model KP70 pula, di mana perubahan yang sangat ketara ialah dari pacuan roda belakang (RWD) ke pacuan roda hadapan (FWD).
Ini dilakukan demi untuk penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan, ruang kabin yang besar dan keselamatan pemanduan.
Selepas itu, Starlet hampir lenyap terus dari Malaysia. Model P80 yang dilancarkan pada penghujung 1989 jarang muncul di jalanraya Malaysia kerana ketika itu, kita sudah ada kenderaan nasional dan model-model yang boleh bersaing dengan model Proton dan Perodua dikenakan cukai yang tinggi.
Namun begitu, sekali sekala ada yang dibawa masuk dari Jepun, terutama varian EP82 GT Turbo dengan enjin 4E-FTE yang menghasilkan 135 PS.
Tidak begitu tinggi tetapi bila dipadankan dengan berat kenderaan yang berada di bawah 900 kg, dan sistem gantungan aktif TEMS dari Toyota, ia menjadi idaman ramai.
Pada Julai 1999, Starlet terus lupus dari dunia automotif apabila Toyota menggantikan model itu dengan Yaris.
Dan sekarang, Toyota Jepun dikatakan merancang untuk menghidupkan semula nama Starlet, demi untuk terus berjuang di kejuaraan ralli.
Selepas berjaya dengan siri GR yang dihasilkan dengan menggunakan Supra, 86, Yaris dan Corolla, Toyota Jepun mahu menghasilkan semula Starlet berdasarkan platform yang telah dibangunkan dengan Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Platform DNGA itu digunakan secara meluas oleh Daihatsu dan Perodua, dan ia terbukti satu platform yang versatil bilamana Toyota turut menggunakannya untuk Vios sekarang.
Menurut media Jepun Best Car, Starlet baharu adalah kentera hatchback yang fokus kepada perlumbaan ralli (seperti GR Yaris dan GR Corolla) dan dibina untuk bersaing dengan model-model barat seperti Renault Clio, Peugeot 208 dan Ford Fiesta.
Varian GR akan, seperti biasa, lebih lebar dari varian biasa dan ia akan menggunakan enjin 1.3L tiga-silinder turbo.
Paling menarik, berat GR Starlet ini dikatakan di bawah 1,000kg.
Dengan penetapan piawaian keselamatan yang ketat, hanya dengan penggunaan bahan-bahan eksotik seperti gentian karbon dan titanium serta besi aloi khusus membolehkan Starlet baharu ini lulus ujian keselamatan tetapi kekal ringan.
Ia juga akan menjadi lebih ringan dari GR Yaris, memungkinkan GR Starlet ini tidak perlu enjin yang terlalu besar dan berat untuk menghasilkan kuasa yang terlalu tinggi.
Perbezaan besar model GR cilik ini ialah ia tidak akan menggunakan transmisi AWD, cuma cukup untuk RWD sahaja (pacuan roda belakang).
Pasti ramai yang meminati sukan rali dan yang mahir menggunakan transmisi manual sudah mengalirkan air liur.
Adakah ia akan hadir di pasaran Malaysia?
Jika kita lihat rekod UMW Toyota, ia membawa masuk semua model-model GR dan Careta pasti, yang ini akan turut dibawa masuk.