Stellantis labur RM28 bilion untuk enjin baharu, guna bahan api etanol

oleh Danial Yasin Suhaimi|
Masa depan enjin pembakaran dalaman (ICE) nampaknya semakin cerah apabila beberapa jenama besar dilihat mula melabur untuk menghasilkan enjin baharu dengan bahan api alternatif.

Terkini, konglomerat automotif yang memiliki 14 jenama, Stellantis dilapor akan membelanjakan USD6 bilion (RM28 bilion) di Amerika Selatan untuk menghasilkan enjin baharu.

Rantau itu mewakili perniagaan besar bagi Stellantis, di mana mereka mempunyai bahagian pasaran sebanyak 31.4 peratus di Brazil dan 23.5 peratus di seluruh Amerika Selatan, Stellantis turut mendahului carta jualan di Argentina dan Chile.

Tahun lepas juga, Stellantis telah mencatatkan jualan lebih 878,000 unit kenderaan di Amerika Selatan, di mana mereka juga peneraju dalam segmen kenderaan komersial merangkumi 28.6 peratus dalam pasaran.

Boleh dianggap sebagai pelaburan terbesar dalam sektor automotif Amerika Selatan, perbelanjaan itu akan menyokong pelancaran lebih 40 model kereta dan pembangunan enjin bahan api fleksibel.

 

2

 

Atau bahasa mudahnya, ia merujuk kepada enjin pembakaran dalaman yang direka bentuk untuk menggunakan bahan api petrol dan etanol.

Stellantis juga merancang untuk menghasilkan kenderaan dengan tetapan hibrid-flex dan plug-in hybrid-flex, untuk kecekapan yang lebih baik dengan menggabungkan enjin pembakaran baharu itu bersama teknologi baterinya.

Selain itu juga, ia akan menghasilkan sekurang-kurangnya satu kereta elektrik sepenuhnya pasaran tersebut, di mana pelaburan itu akan dibuat antara tahun 2025 dan 2030.

Enjin bahan api fleksibel itu sedang dibangunkan untuk menampung berbilang model merangkumi portfolio Stellantis yang luas dan akan mula memasuki barisan pengeluaran sedia ada di Amerika Selatan untuk mengekalkan kos yang rendah.

Model hibrid bahan api flex baharu itu dijangka akan dikeluarkan pada penghujung 2024, dan beberapa model juga bakal dipadankan dengan transmisi automatik dwi-clutch (DCT).

 

Sumber: Stellantis

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Tindakan itu berlaku adalah untuk mengurangkan kos ketika pembuat kereta itu menghadapi cabaran…
Berita Global
Mungkin pada mulanya akan timbul kurang keyakinan dengan penggunaan platform yang sama dengan Dodge…
Berita Domestik
Ia merupakan selepas tiga tahun sejak penubuhannya untuk menguruskan pengedaran, jualan dan selepas…