Subaru Crosstrek Wilderness 2024 - kit badan agresif, jarak lega bumi lebih tinggi, dari RM147k di US

oleh Mohamad Hanif|
Di pasaran luar negara, Subaru sudah pun mula menawarkan trim Wilderness yang disasarkan untuk pemanduan off-road yang lebih 'hardcore' dan dalam masa yang sama menyeronokkan.

Selepas Outback dan Forester, kini tiba giliran Subaru Crosstrek (sebelum ini dikenali sebagai XV) untuk menerima trim Wilderness di pasaran Amerika Syarikat.
 

Crosstrek


Sama seperti adik-beradik Wilderness yang lain, Subaru Crosstrek Wilderness mendapat kelengkapan seperti komponen suspensi yang unik, penambahan cladding untuk perlindungan ekstra, diikuti dengan pemasangan tayar all-terrain Yokohama Geolandar untuk lebih cengkaman di dalam laluan yang sukar.

Selain daripada bampar depan dan belakang yang baharu, Crosstrek Wilderness ini turut mendapat lampu kabus berbentuk heksagon, kemasan decal hud yang mampu mengurangkan kesan silau, logo Wilderness, diikuti dengan rak bumbung yang mempunyai had muatan statik seberat 318 kg.
 

Crosstrek


Disebabkan penggunaan suspensi baharu, Crosstrek Wilderness mempunyai jarak lega bumi setinggi 240 mm, selain menyumbang kepada sudut pendekatan, pelepasan dan breakover yang jauh lebih baik.

Generasi baharu Subaru Crosstrek ini dibekalkan standard dengan enjin boxer 2.5 liter dengan hamburan kuasa 182 hp dan 239 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
 

crosstrek


Berbanding Crosstrek biasa, Crosstrek Wilderness mempunyai nisbah pacuan akhir yang lebih pendek (4.111:1) bertujuan untuk menambah baik keupayaan bergerak di laluan yang sukar.

Penambahan sistem penyejukan minyak membolehkan keupayaan menunda Crosstrek ini ditingkatkan kepada 1,588 kg. 

Sistem X-Mode adalah standard, diikuti dengan ciri seperti bantuan menurun cerun, bantuan pemandu EyeSight, kawalan jelajah adaptif, amaran lintasan trafik belakang serta sistem pemantauan titik buta.
 

Crosstrek


Ruang kabin Crosstrek Wilderness ini dihiasi dengan upholsteri StarTex yang kalis air, diikuti dengan alas lantai dan dulang kargo kalis air, serta logo Wilderness yang terdapat pada perehat kepala.

Secara standard, SUV 'off-road' ini turut mendapat ciri moden termasuklah sistem kemasukan tanpa kunci, ciri pemanas tempat duduk, serta sistem pencahayaan lampu LED.
 

Crosstrek


Di pasaran Amerika Syarikat, Subaru Crosstrek Wilderness dijual pada harga bermula dari $33,290 (RM146,626), sementara pakej opsyen bernilai $2,270 (RM9,998) membolehkan pembeli mendapatkan pakej bumbung suria, tempat duduk pemandu berkuasa elektrik dan sistem audio Harman Kardon dengan 10 pembesar suara.

Berita Berkenaan

Berita Global
Sejak dari tahun 2020, Subaru telah pun berkerjasama dengan Japanese Lifesaving Association (JLA)…
Berita Global
Salah satu daripadanya ialah Subaru Crosstrek Boost Gear Concept yang membawakan pelbagai…
Berita Global
Generasi ketiga ini dikuasakan enjin petrol 2.0 liter NA, menghasilkan 145 HP dan tork 188 Nm,…