Dari segi kuasa, ia didatangkan dengan enjin GSX-R 999 cc yang terbukti, menghasilkan kuasa setinggi 152 PS @ 11,000 rpm dan daya kilas 106 Nm @ 9,250 rpm yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan, serta ciri quickshifter.
Enjin tersebut telah ditala semula bagi menawarkan pengedaran kuasa yang konsisten dan lancar, dan antara penambahan yang dibuat termasuklah sistem kemasukan dan aci sesondol ekzos yang telah disemak semula, serta komponen klac dan penukaran gear yang direka semula.
Prestasi enjin dikawal oleh teknologi Suzuki Intelligent Ride System (SIRS) yang turut merangkumi lima mod kawalan cengkaman, kawalan jelajah elektronik, serta sistem penukaran gear dua arah pantas tanpa klac (bi-directional clutchless quickshifting), selain sistem Low RPM Assist dan Easy Start System.
Sistem suspensi pula terdiri daripada fork hadapan KYB jenis terbalik dan boleh dilaras sepenuhnya, serta penyerap hentak tunggal belakang, juga boleh dilaras.
Aspek pemberhentian jentera ini dibantu oleh angkup brek Brembo empat omboh dan rotor 310 mm di depan, dan ciri bantuan ABS dua saluran yang menawarkan kuasa pemberhentian yang lebih meyakinkan.
Untuk memastikan pengalaman tunggangan jarak jauh yang sebenar, Suzuki GSX-S1000GT menampilkan bar hendal aluminium tuang yang lebih lebar, dan diposisikan untuk keselesaan penunggang, dibantu dengan cagak penyerapan hentakan getah pada bahagian bar hendal dan juga tempat pemijak kaki.
Rekaan pelana yang sporti, akan tetapi masih lagi memaksimumkan keselesaan terima kasih kepada penggunaan bahan pelindung baharu.
Kotak storan sisi (opsyen untuk GSX-S1000GT, standard untuk GSX-S1000GT+) menawarkan ruang sebesar 36 liter yang mampu memuatkan helmet full-face, dengan rekaan yang diseimbangkan untuk penampilan yang selari dengan imej jentera ini.
Antara ciri lain termasuklah cermin penghadang angin touring, unit lampu LED, lampu posisi berbentuk V, rekaan cermin sisi baharu, serta lampu membelok LED yang unik.
Segala informasi penting dipaparkan menerusi skrin TFT LCD bersaiz 6.5 inci yang pertama digunakan pada motosikal Suzuki, menampilkan paparan yang jelas dibaca, dan boleh disambung kepada peranti pintar menerusi aplikasi SUZUKI mySPIN.
Aplikasi ini turut menawarkan fungsi menarik yang direka khusus untuk kegunaan motosikal seperti sistem buku telefon, panggilan telefon, aplikasi pemetaan, permainan muzik dan juga kalendar.
Suzuki GSX-S1000GT (dan GSX-S1000GT+) akan mula diedarkan pada awal tahun 2022.