Salah satu daripada model yang bakal dipamerkan ialah Suzuki Swift Concept.
Model Swift Concept ini memberikan gambaran yang lebih jelas model generasi baharu hatchback segmen B yang bakal dilancarkan kelak.
Antara perubahan yang boleh dilihat termasuklah rekaan yang telah diperbaharui, struktur jeriji berbentuk mulut ikan, unit pencahayaan LED serta kemasan warna dua tona.
Menurut Suzuki, Swift baharu ini dibangun dengan fokus untuk menawarkan pemanduan yang lebih menyeronokkan, serta dilengkapi dengan ciri keselamatan ADAS.

Selain Swift Concept, Suzuki juga bakal mempamerkan model eVX Concept - sebuah SUV kecil yang direka untuk pasaran global, menampilkan trenkuasa elektrik sepenuh masa.
SUV dengan dimensi sepanjang 4,300 mm itu menawarkan jarak gerak sejauh 500 km untuk sekali cas penuh, dipadankan dengan teknologi 4x4 kawalan elektronik terkini daripada Suzuki.
Untuk makluman, Suzuki menerusi pengedarnya di sini (Naza Eastern) dijangka akan melancarkan model kenderaan elektrik ke pasaran Malaysia menjelang separuh kedua 2025.

Tidak lengkap pameran Suzuki tanpa kehadiran pelbagai jenis konsep keicar termasuklah Spacia, Spacia Custom, serta dua model EV iaitu e Every Concept dan eWX.
e Every Concept merupakan van kei elektrik penuh dengan jarak gerak sejauh 200 km untuk sekali cas penuh, sementara eWX merupakan wagon mini dengan jarak gerak sejauh 230 km dan dimensi sepanjang 3,395 mm.
Akhir sekali, Suzuki akan membawakan pelbagai jenis model motosikal, penyelesaian mobiliti batuan terakhir berkuasa elektrik, robot penghantaran barang autonomi, serta model berskala kereta terbang Skydrive yang akan diperlihatkan secara rasmi pada tahun 2024.