Tayar tidak turun punca pesawat TUDM mendarat cemas di LTSAS

oleh Penyumbang Rencana|
Kegagalan sebelah tayar tidak turun ketika mahu mendarat dipercayai punca pesawat milik Tentera Udara Malaysia (TUDM), Beechcraft B200T mendarat cemas di Lapangan Terbang Sultan Aziz Shah (LTSAS), di Subang, tengah hari Isnin.

TUDM dalam kenyataan terbarunya berkata, pesawat yang dinaiki empat anak kapal itu mengalami kegagalan fungsi “undercarriage” iaitu sebelah tayar tidak turun semasa hendak mendarat.
CHERY TIGGO 7 PRO Launch MREC Banner Campaign June 2024

Sehubungan itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut mengesahkan laporan mengenai kejadian.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat dengan nombor pendaftaran M41-02 itu difahamkan tergelincir dari landasan kira-kira pukul 12.54 tengah hari Isnin.

“Pesawat berkenaan telah tergelincir dari landasan semasa mendarat dan kesemua empat pegawai termasuk juruterbang dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Juruterbang pesawat tersebut telah menghubungi Menara Kawalan Trafik Udara (ATC) Subang memaklumkan mengenai masalah pada gear pendaratan dan meminta bantuan untuk mendarat.

“Menara ATC Subang segera memaklumkan kepada Perkhidmatan Bomba & Penyelamat Lapangan Terbang Subang (AFRS) bagi mengaktifkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang (AEP) untuk menyediakan bantuan kecemasan kepada pesawat semasa mendarat,” katanya dalam kenyataan menurut laporan dari Kosmo.

Jelasnya, pesawat tersebut dalam proses untuk dialihkan dan pemeriksaan penuh landasan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan operasi di lapangan terbang.

“Landasan dijangka akan dibuka semula dan beroperasi pada pukul 5.00 petang.

“Siasatan lanjut akan dilaksanakan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” ujarnya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Beliau berkata, pengeluar helikopter Eropah itu berhasrat untuk memperkukuhkan penguasaannya dalam…
Berita Domestik
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Sinar Harian…
Informasi
Hantaran tersebut turut berkongsikan tiga keping gambar memaparkan pengurniaan MPV Toyota Vellfire…