Tendang pengawal keselamatan, rider penghantar makanan diburu polis

oleh Mohamad Hanif|
Bengang akibat dihalang masuk sebuah taman perumahan, seorang penghantar makanan bertindak menendang perut pengawal keselamatan di Taman Bukit Meringin, Sungai Ramal Luar, menurut laporan Kosmo.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024

Ketua Pegawai Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan insiden yang berlaku jam 6.30 petang itu daripada majikan pengawal keselamatan tersebut.  

“Kejadian berlaku disebabkan sikap tidak puas hati suspek terhadap pengawal keselamatan kerana apabila suspek mohon masuk ke rumah nombor 3 di Taman Bukit Meringin dihalang mangsa yang memaklumkan rumah tersebut kosong dan tidak berpenghuni.

“Disebabkan mangsa tidak membenarkan suspek masuk, suspek yang berang telah turun daripada motosikalnya dan melepaskan satu tendangan di perut mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zaid, seorang saksi di situ yang kebetulan mahu masuk ke kawasan perumahan berjaya merakamkan kejadian dengan menggunakan rakaman papan pemuka (dashcam) miliknya.

Sehubungan itu, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kajang sedang mengesan suspek untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Sarjan Ahmad A’fifi Ahmad Humaidi di talian 019-7142486 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sumber: Kosmo

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian yang berlaku…
Berita Domestik
  Menurutnya, penunggang gig juga akan menerima pendapatan terjamin sehingga RM3,000 sebulan,…
Berita Domestik
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor mengesahkan rancangan…