Tentera China pantau kapal perang Amerika Syarikat di Selat Taiwan

oleh SALINA JALIL|
Tentera China hari ini memaklumkan pihaknya mengekori dan memantau pergerakan kapal perang Benfold milik Amerika Syarikat (AS) yang singgah di Selat Taiwan.


"Kekerapan provokasi dan peragaan oleh AS menunjukkan negara itu adalah pemusnah keamanan dan kestabilan serta pencetus risiko keselamatan di Selat Taiwan," kata Perintah Medan Timur tentera China.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Armada Ke-7 Tentera Laut AS memaklumkan, kapal perang Arleigh kelas Burke, USS Benfold melakukan persinggahan rutin di Selat Taiwan semalam, menerusi 'perairan antarabangsa selaras undang-undang antarabangsa.'

 

"Kapal itu membuat persinggahan menerusi satu koridor di Selat Taiwan, di luar kawasan laut di dalam wilayah perairan mana-mana negara," katanya.

 

AS melakukan perjalanan seumpamanya menerusi selat yang memisahkan Taiwan dan China kira-kira sekali dalam sebulan, dan ia mencetus kemarahan Beijing yang melihat tindakan itu sebagai tanda sokongan kepada Taiwan.

Bulan ini, China mengerah jet pejuang di sepanjang garisan median Selat Taiwan, yang disifatkan Taiwan sebagai provokasi, ketika anggota Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat AS daripada Republikan, Rick Scott melawat Taipei.

 

Isnin lalu, China meminta AS segera membatalkan kemungkinan penjualan bantuan teknikal ketenteraan kepada Taiwan bernilai kira-kira AS$108 juta (RM480.5 juta).

 

Isu membabitkan Taiwan kerap mencetuskan ketegangan dalam hubungan antara Washington dan Beijing, yang menganggap Taiwan yang ditadbir secara demokrasi itu sebagai sebahagian wilayahnya.

 

Semalam, China memberi amaran akan 'mengambil tindakan keras' jika Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi melawat Taiwan, selepas Financial Times melaporkan lawatan itu dijadualkan bulan depan.

 

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian menyifatkan sebarang bentuk lawatan oleh Pelosi 'meremehkan kedaulatan dan integriti wilayah China secara serius.'

 

Namun, Kementerian Luar Taiwan memaklumkan pihaknya 'tidak menerima maklumat yang relevan' mengenai lawatan itu.

 

 

- Sekiranya isu ini menjadi lebih parah, bersedia kah kita dengan peperangan? -

 

- REUTERS

Berita Berkenaan

Berita Global
Ketika ini Tesla sedang bergelut dengan perang harga dan penurunan jualan bagi kenderaan elektrik (…
Sukan Bermotor
Andi Farid Izdihar dari Indonesia yang mewakili Honda Asia-Dream Racing meraih tempat kedua dengan…
Berita Global
Kuantiti kenderaan elektrik (EV) buatan China semakin meningkat apabila pembuat kereta dan pengedar…