Menurut laporan insideevs, Tesla telah mula melancarkan "yuran kesesakan" dengan kadar USD1 (RM4.67) seminit di beberapa Supercharger terpilih di US.
Caj tersebut bertujuan untuk menghalang pelanggan daripada mengecas EV mereka sehingga 100 peratus, di mana ia membolehkan lebih banyak EV menggunakan rangkaian pengecasnya dan mengurangkan masa menunggu.
Apabila EV telah mencapai State of Charge (SoC) tertentu, caj kesesakan akan bermula untuk menjadikan kadar pengecasan lebih mahal, dengan tujuan untuk menggalakkan pemilik berhenti mengecas lebih awal.
Menurut Tesla, caj kesesakan tersebut akan dikenakan kepada pengguna pada kadar USD1 seminit dan bermula apabila kenderaan telah mencapai SoC sebanyak 90 peratus.
Tidak jelas sama ada SoC atau kadar yuran akan berbeza-beza di seluruh lokasi Supercharger, di mana Tesla menyatakan bahawa bayaran kesesakan itu sendiri akan dipaparkan pada skrin sentuh Tesla semasa memilih stesen Supercharger.
Menurut Tesla juga, jika sesebuah stesen Supercharger itu sedang sibuk dengan bilangan pengguna yang tinggi, caj kesesakan tersebut akan dikenakan secara automatik.
Buat masa ini, caj kesesakan tersebut hanya dikenakan di beberapa lokasi Supercharger di US.
Sumber: insideevs