Thailand bukan cakap kosong - Foxconn bekerjasama dengan PTT untuk hasilkan EV

oleh HEZERI SAMSURI|
Nampaknya Thailand betul-betul mempunyai perancangan yang kukuh dalam pelan pembangunan kenderaan elektrik (EV) untuk negara tersebut.

Sebagai negara yang tidak mempunyai satu pun syarikat kenderaan nasional, Thailand hanya mempunyai barisan syarikat-syarikat vendor tempatan yang menyokong kehadiran kilang-kilang besar dan pusat penyelidikan dan pembangunan kenderaan global.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hasilnya, Thailand ialah pengeksport kenderaan nombor satu ke Australia, dan juga adalah pengeksport terbesar trak pikap saiz sederhana ke seluruh dunia.

Eksport kenderaan Thailand ke seluruh dunia secara purata ialah melebihi dari 1 juta unit setahun. Ini tidak termasuk industri sokongan seperti tayar, bateri dan pelbagai komponen lain di mana negara itu juga mendahului Malaysia dalam sekala beratus kali ganda.

Untuk menambahkan perit di luka Malaysia, agensi kerajaan Thailand mempunyai perancangan yang kukuh dan disokong penuh oleh pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Sebelum ini, Thailand mengumumkan pelan pembangunan EV untuk mengubah lanskap industri automotif mereka. 

Ia diikuti oleh perubahan dalam grid tenaga yang memastikan stesen-stesen caj boleh dibina dan pengguna juga mampu mengecaj EV mereka di kediaman masing-masing.

Sekarang, kontraktor pemasangan iPhone, Foxconn dari Taiwan sudah mengumumkan bahawa ia akan bekerjasama dengan PTT, syarikat tenaga rasmi Thailand untuk membuat EV di negara itu.

Untuk yang masih kurang arif, ia umpama Foxconn menandatangai perjanjian membuat EV dengan Petronas.

Dan untuk yang masih tak faham kenapa PTT atau Petronas atau mana-mana syarikat tenaga perlu membuat EV, sebenarnya semua syarikat tenaga (minyak) sudah mula mengorak langkah untuk berubah dari bergantung kepada minyak sebagai punca tenaga kepada elektrik.

Shell contohnya, sudah mula membina pusat caj EV di stesen-stesen minyaknya di seluruh dunia. Petronas pula dari dulu sudah menyediakan pusat caj untuk EV di stesen-stesen tempatan.

Acara perjanjian persefahaman antara PTT dan Foxconn itu disaksikan sendiri secara virtual oleh Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.

Ia membenarkan kedua-dua pihak untuk menggunakan perkakasan dan juga perkhidmatan perisian untuk mana-mana pembuat kenderaan di Thailand tanpa perlu memberikan informasi seperti saiz pelaburan dan juga perancangan pembuatan.

Maksudnya, Foxconn boleh menghasilkan kenderaan untuk sesiapa sahaja, dan cara ini mampu menjadikan syarikat Taiwan itu sebuah gergasi automotif dalam masa yang singkat.

Foxconn sudah pun mempunyai kontrak pemasangan EV dengan Fisker di US, dan ia mensasarkan akan menghasilkan 150,000 unit EV setahun.

Selain dari itu, Foxconn yakin ia akan menggunakan pengalamannya sebagai pemasang kontrak iPhone untuk menghasilkan komponen-komponen EV dengan pantas dan kos yang rendah.

Sasaran Foxconn untuk tujuan itu ialah menjadi pembekal komponen atau perkhidmatan pembinaan EV sebanyak 10 peratus dari pasaran dunia menjelang tahun 2025 ke 2027.

Sekiranya Malaysia masih terkial-kial menangani Covid-19 sehinggakan tidak ada satu pun kementerian mampu membuat apa-apa, masa hadapan negara dalam perlumbaan EV memang akan menjadi semakin malap kerana tidak seperti Indonesia, Malaysia mempunyai pasaran domestik yang kecil untuk sektor automotif dan tanpa pengukuhan industri yang kuat, ia juga bakal gagal dalam usaha mengeksport.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
Mereka juga mendakwa beg udara gagal berfungsi dan pintu kenderaan tidak terbuka selepas kemalangan…
Kereta
Perkara seperti tersebut membuatkan sesetengah orang masih kurang yakin dengan kebolehan dan…
Berita Global
Laporan itu datang selepas Ketua eksekutif Tesla, Elon Musk membuat lawatan mengejut untuk bertemu…