Menurut penasihat Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia (GPPPDM), Hairi Md Ali atau Along, ada tiga perkara yang boleh diubah untuk membantu pengendali lori treler dan juga meningkatkan keselamatan pengguna jalanraya.
1. Penambahan lampu-lampu penanda treler perlu dibenarkan
Along meminta agar lampu-lampu penanda sisi dan atas (sebenarnya lampu atas memang sudah diwajibkan, khusus untuk lori kontena) dibenarkan untuk dipasang di sisi trailer. Menurutnya, ia akan membantu pengguna lain mengenalpasti lori treler dan bersedia dengan kehadirannya.
"Ia juga penting ketika berada di simpang dan sebagainya kerana tanpa lampu penanda, orang tidak nampak bahawa ada treler melintang di tengah jalan raya.
Bayangkan jika lori rosak di tengah persimpangan jalan raya yang gelap. Ia memang situasi yang merbahaya," kata Along.
2. Besi penghadang bahagian bawah treler wajib dibenarkan
Besi "under run" atau penghadang yang berada di bahagian bawah sisi trailer perlu dibenarkan pemasangannya walaupun untuk treler yang sudah didaftarkan.
Along percaya ia akan membantu ketika kemalangan agar penunggang motosikal atau kenderaan lain tidak terperosok ke bawah treler dan digilis.
3. Penambahan kotak utiliti treler patut dibenarkan
Setiap lori treler mempunyai kelengkapan yang perlu dibawa. Antaranya ialah:
- Lapisan papan untuk menampung jek ketika pancit. Jika tidak dialas dengan papan, jalan bertar akan rosak.
- Bongkah kayu yang membantu menghalang lori dari tergolek ke belakang.
- Kon-kon besar yang perlu digunakan jika lori rosak di tepi jalan.
- Kanvas besar untuk menutup muatan jika hujan.
- Alatan pembaikan lori
Buat masa sekarang, pemandu lori terpaksa kreatif dalam meletakan kelengkapan-keelengkapan tersebut kerana tidak dibenarkan untuk membuat penambahan tersebut pada treler mereka.
Buat masa sekarang, ramai pemandu yang menyelitkan item-item itu dicelah-celah kerangka treler dan ia mempunyai risiko terjatuh ke jalan raya awam.