Ini merupakan penambahan terbaharu kepada keluarga Gazoo Racing selepas GR Supra dan GR Yaris, dan Toyota mendakwa mereka telah melakukan penambahbaikan bagi menjadikan kereta sports GR 86 itu lebih dinamik pemanduannya.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Toyota GR 86 memiliki beberapa perbezaan kecil jika dibandingkan dengan Subaru BRZ, seperti rekaan gril 'Functional Matrix' seperti yang didapati pada GR Yaris, serta unit lampu signatur LED yang berbeza daripada model Subaru.
Secara keseluruhan, rupa paras Toyota GR 86 dilihat lebih lembut jika dibandingkan dengan model generasi pertama, namun terdapat rahsia yang berselindung di sebalik rupa yang lembut itu.
Ini kerana walaupun berat hampir menyamai Subaru BRZ (1,270 kg), akan tetapi jurutera Toyota telah bekerja keras bagi memastikan pengendalian yang lebih jitu berbanding generasi terdahulu, walaupun ia sudah pun terkenal kerana dinamik pengendaliannya.
Beberapa bahan ringan digunakan, seperti panel bumbung dan fender daripada aluminium, titik graviti yang rendah serta casis yang telah dipertingkatkan 50 peratus tahap kekakuan kilasan (torsional rigidity) supaya ia menjadi sebuah kereta pemandu yang sebenar.
Dari segi kuasa, GR 86 datang dengan enjin 2.4 liter flat-four yang sama didapati pada Subaru BRZ, namun dengan sedikit peningkatan kuasa, iaitu 232 hp @ 7,000 rpm dan 250 Nm @ 3,700 rpm.
Menurut Toyota, kadar respons enjin telah diperbaiki untuk menawarkan peralihan kuasa daripada putaran enjin rendah kepada putaran enjin yang lebih tinggi dan ini diterjemahkan menerusi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat, atau 1.1 saat lebih pantas berbanding model terdahulu.
Padanan transmisi pula adalah jenis manual enam kelajuan atau automatik enam nisbah kelajuan yang menyalurkan kuasa kepada roda belakang.
Untuk ruang kabin pula, Toyota telah mengoptimasikannya supaya ia menjadi sebuah ruang yang fokus kepada pemandu, dan diikuti oleh sistem infotainmen bersaiz tujuh inci dengan paparan grafik mula yang diinspirasikan daripada pergerakan omboh sebuah enjin boxer.
Sama seperti Subaru BRZ, Toyota GR 86 masih lagi mengekalkan butang-butang fungsi fizikal pada papan pemuka, serta panel meter kluster instrumen yang direka seakan susunan omboh enjin boxer.
Dari segi keselamatan pula, versi automatik GR 86 akan didatangkan dengan teknologi bantuan Subaru EyeSight yang merangkumi beberapa ciri seperti amaran pra-pelanggaran serta sokongan panggilan kecemasan di dalam insiden yang tidak diduga.
Walaupun dilancarkan lewat berbanding Subaru BRZ, Toyota GR 86 akan mula dijual bersama-sama kembarnya di Jepun pada musim luruh ini.
Untuk pasaran Malaysia nampaknya UMW Toyota telah pun menjadualkan kemasukan model GR 86 ini pada suku keempat tahun 2021 berdasarkan slaid pembentangan yang terbocor dua bulan yang lalu.