Toyota GR Yaris - 200 unit sahaja, Performance Pack Edition, bermula dari RM299 ribu!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah negara jiran Thailand menerima unit yang telah ditetapkan, tiba giliran Malaysia pula untuk menerima kehadiran jentera rali WRC yang dijelmakan untuk jalan raya, Toyota GR Yaris.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Pihak UMW Toyota hanya membawa masuk sebanyak 200 unit sahaja, dan setiap satu didatangkan dengan plat nombor istimewa eksklusif serta pakej Performance Pack Edition terdiri daripada penawaran suspensi yang lebih teguh, unit LSD Torsen, rim aloi BBS dan penggunaan tayar Michelin Pilot Sport 4S.

Kehadiran GR Yaris kini melengkapkan lagi penawaran kenderaan di bawah naungan Toyota Gazoo Racing yang dimulakan oleh GR Supra dan sebuah lagi jentera Vios GR Sport yang turut dilancarkan serentak hari ini.

 


Toyota GR Yaris lahir dari dunia rali, dan pihak jurutera perlu memastikan tahap kejuruteraan asas hot hatch ini perlulah tersedia mantap bagi memastikan tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan sebelum berentap di atas jalan.

Ia menggunakan gabungan unik antara platform TNGA-B dan bahagian belakang pula menggunakan adaptasi platform TNGA-C yang menjadikan sistem suspensi asal torsion beam telah digantikan dengan sistem double wishbone.

 


Selain daripada itu, pihak jurutera turut menumpukan perhatian kepada tiga aspek utama iaitu aerodinamik, pengagihan berat dan binaan yang ringan - ketiga-tiga ini menyumbang kepada prestasi dan juga pengendalian secara keseluruhan.

Disebabkan itu, anda akan mendapati beberapa perkara berikut:

  • garis bumbung GR Yaris jauh lebih rendah berbanding Yaris TNGA standard
  • pemasangan spoiler GR untuk membantu meningkatkan daya turun
  • penggunaan bahan ringan seperti karbon, C-SMC (carbon sheet moulding compound) dan aluminium menjadikan berat keseluruhan 1,280 kg sahaja

Keempat-empat sudut dipasang dengan rim aloi 18 inci dari BBS yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40R18.

 


Aspek kuasa diserahkan kepada enjin tiga silinder sebaris paling berkuasa di dunia - 1.6 liter turbo yang mampu menjana 261 PS dan 360 Nm pada putaran enjin 3,000-4,600 rpm yang dipadankan dengan transmisi manual iMT enam nisbah kelajuan.

Sistem pacuan empat roda GR-Four menawarkan tiga mod pemanduan dengan pengagihan kuasa kepada gandar depan dan belakang yang berbeza, iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).

Sistem pemberhentian GR Yaris diserahkan kepada brek cakera berliang bersaiz 356 mm dengan angkup GR aluminium merah empat omboh di hadapan dan cakera berliang 297 mm dengan angkup GR aluminium merah dua omboh di belakang.

 


Memasuki ruang kabin, ia menampilkan elemen sporti yang ringkas dan berfungsi, dimulakan dengan penggunaan tempat duduk sport yang ringan dengan balutan kulit hitam dan jahitam merah, roda stereng tiga jejari GR, pedal sport aluminium serta trim rona perak pada sesetengah tempat.

Sistem paparan terdiri daripada meter analog dan skrin paparan TFT MID bersaiz 4.2 inci yang memaparkan mod pemanduan, petunjuk kedudukan gear dan pemantauan tekanan turbo, serta paparan head-up.

Sistem infotainmen pula bersaiz 7 inci yang menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, Bluetooth dan sistem audio enam pembesar suara.

 


Selain daripada itu, GR Yaris hadir dengan sistem kemasukan pintar, sistem pendingin hawa automatik dua zon, cermin pandang belakang elektrokromik, serta butang pandu mula dengan lencana GR.

Ciri keselamatan yang didatangkan cukup lengkap merangkumi ciri seperti enam beg udara, bantuan mula mendaki, Kawalan Kestabilan Kenderaan, Kawalan Cengkaman, ABS, BA, EBD, serta ciri Toyota Safety Sense yang terdiri daripada komponen berikut:

  • Pre-Crash System
  • Dynamic Radar Cruise Control
  • Lane Departure Alert
  • Lane Tracking Assist
  • Auto High Beam

Hanya 200 unit sahaja dikunci oleh UMW Toyota Malaysia daripada 25,000 unit yang dihasilkan di seluruh dunia, dan GR Yaris hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan (tertakluk kepada terma dan syarat).

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Berdasarkan semakan di laman web Toyota FR, hot  hatch cilik itu akan ditawarkan sebanyak 300 unit…
Berita Global
Jika bukan kerana jasa Morizo (atau Akio Toyoda) yang sudi mengotorkan tangan di dalam litar lumba…
Berita Global
Ada yang suka dengan stail olskool yang cuba diterapkan oleh Toyota, kerana ia membawakan susun…