Terbaharu, Toyota mengumumkan penambahan senarai alat ganti tulen yang bakal dihasilkan untuk kedua-dua model Supra A70 dan A80.
Lebih menarik lagi, penawaran alat ganti tulen tersebut kini diperluaskan bukan sahaja di pasaran Jepun, malah pasaran lain seperti Amerika Utara, Eropah, serta pasaran yang tidak disebutkan.
Ini bermakna, anda boleh mendapatkan alat ganti tulen Supra secara rasmi daripada pengedar-pengedar Toyota yang berhampiran untuk projek restorasi Supra anda.
Namun berita kurang baiknya, kesemua alat ganti ini akan dihasilkan dalam unit yang terhad, jadi siapa cepat dia yang dapat.
Bermula 1 Julai 2021, Toyota mula menawarkan komponen seperti silinder utama klac, silinder pelepas klac, hos brek, hos pemanas, serta tombol pemutar kawalan pendingin hawa untuk Supra A70, diikuti dengan penderia oksiden untuk model Supra A80.
Sementara bulan Ogos pula, Toyota bakal menawarkan emblem hadapan enamel untuk A70, diikuti dengan pelindung bampar hadapan untuk model A80.
Selain daripada itu, Toyota akan menghasilkan semula komponen seperti perlindungan sisi, emblem belakang Supra, kemasan pintu hadapan, serta bushing untuk lengan bawah suspensi hadapan untuk generasi A70 bermula bulan Ogos ini.
Sudah pasti, inisiatif yang diperkenalkan oleh Toyota sedikit sebanyak mampu memberikan senyuman kepada para pemilik Supra, memandangkan mereka kini tidak perlu risau akan masalah alat ganti tulen untuk tempoh beberapa tahun akan datang.