Trak pikap asing 'kantoi' isi diesel berulang kali di stesen berbeza

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari KPDN Kedah
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah membongkar taktik trak pikap asing yang membuat isian diesel di beberapa buah stesen minyak dalam Ops Tiris di Pos Kawalan Sempadan Bukit Kayu Hitam, dekat Alor Setar, pada Khamis.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, anggota penguat kuasa telah mengekori kenderaan tersebut yang masuk ke negara ini dan membuat pembelian minyak berulang di beberapa stesen minyak di sekitar pekan Changlun dan Bukit Kayu Hitam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Beliau berkata, modus operandi digunakan adalah membuat pembelian berulang dalam jumlah had 20 liter di beberapa stesen minyak bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan awal mendapati kenderaan tersebut berisi dengan bahan api dipercayai diesel dengan anggaran 70 liter bernilai RM150.50 di dalam tangki asal.

"Bahan api tersebut dipercayai dibeli di beberapa buah stesen minyak sekitar pekan Changlun dan Bukit Kayu Hitam," katanya dalam kenyataan pada malam Khamis.

Sehubungan itu, Muhammad Nizam memaklumkan, seorang lelaki Thailand berusia 32 tahun ditahan, manakala sebuah kenderaan pikap bernombor pendaftaran Thailand turut disita dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, tindakan itu dijalankan pasukan penguat kuasa KPDN Kedah dalam usaha membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di sempadan negara.

Katanya lagi, kenderaan disita dianggarkan bernilai RM70,000 dengan nilai sitaan keseluruhan termasuk diesel berjumlah RM70,150.50.

Beliau menambah, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jelasnya, kenderaan berpendaftaran asing dibenarkan membuat pembelian di stesen minyak dalam lingkungan 50 kilometer (km) dari pintu sempadan dengan had bagi pembelian diesel sebanyak 20 liter dengan hanya sekali pembelian manakala bagi petrol jenis RON97 tanpa had isian.

Tambah Muhammad Nizam, semua jenis bahan api tersebut hanya boleh diisi dalam tangki asal kenderaan, manakala kenderaan asing tidak dibenarkan untuk membeli petrol jenis RON95.

Beliau turut memaklumkan, KPDN Kedah sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.

"Ia bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan yang seterusnya akan merugikan negara," katanya.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, dalam tempoh sama, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan…
Berita Domestik
“Hasil pemeriksaan KPDN, minyak diesel dengan anggaran sebanyak 430,000 liter yang bernilai RM924,…
Berita Domestik
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas satu juta liter minyak diesel bersubsidi, 18…