Mereka mula menggegarkan dunia menerusi pengenalan skuter X-ADV dengan sesaran enjin 750 cc, namun tidak semua golongan mampu untuk memiliki skuter yang mahal bertransmisi DCT itu.
Alternatifnya, Honda tampil dengan sebuah skuter berpenampilan serupa, namun dengan sesaran enjin dan dimensi badan yang lebih memudahkan untuk pengguna di kota raya – Honda ADV 150.
Ternyata, sambutan yang diterima cukup menggalakkan sehinggakan ada yang terpaksa menunggu sehingga beberapa bulan semata-mata untuk mendapatkan unit masing-masing.
WMoto memberikan jawapan balas menerusi pengenalan model Xtreme 150i pada pertengahan tahun 2021, dan berdasarkan tunggang uji yang telah penulis buat tempoh hari, skuter Xtreme 150i ini dilihat sukar untuk memberikan impak yang mendalam.
Kali ini, WMoto sekali lagi tampil dengan sebuah skuter kembara mesra bajet yang mampu untuk memenuhi impian para pemegang lesen B2 di Malaysia, iaitu skuter XDV 250i.
Skuter yang dijenamakan semula daripada model pasaran China Longjia XDV 250 itu dilihat merupakan calon motosikal yang sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah skuter yang agresif, dan dalam masa yang sama tidak mencederakan poket.
Careta telah diberikan peluang untuk menunggang uji skuter ini seusai ia rasmi dilancarkan di Subang EX8 pada minggu yang lalu, berikut merupakan input ringkas kami:
1. Rupa paras yang mengancam habis
Anda mungkin sudah bosan dengan penampilan skuter yang ada di pasaran.
Skuter yang biasa, nampak macam terlalu feminin. Nak skuter maxi, nampak macam golongan abah-abah pencen pula.
Jadi, kehadiran XDV 250i ini dilihat mampu untuk memberikan satu penampilan personaliti yang lebih berjiwa muda dengan imej gaya hidup serba aktif – walaupun anda sebenarnya tidaklah seaktif yang disangka. Aktif ke surau, itu satu bonus!
Ia membawakan elemen pengembaraan yang telah diwujudkan sejak dari zaman X-ADV 750, ADV 150, dan ADV 160 yang masih belum masuk pasaran Malaysia ke dalam pakej skuter 250 cc.
Dengan warna merah yang menyala itu, orang akan senang salah anggap ia adalah sebuah skuter Honda!
2. Pakej ‘lengkap’ untuk harga bawah RM20 ribu
Pada acara pelancaran tempoh hari, WMoto berjaya mengejutkan rata-rata kita dengan pengumuman harga jualan yang agak berpatutan – bermula dari RM18 ribu.
Pada julat harga itu, anda akan mendapat sebuah skuter dengan pakej pengembaraan urban yang sangat menarik perhatian (kecuali rekaan rim yang pondan itu) seperti sistem suspensi KYB depan dan belakang, brek cakera J.Juan depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, dan unit lampu LED menyeluruh.
Lebih menarik, XDV 250i didatangkan siap dengan unit lampu tambahan pada bahagian depan lantai skuter.
Dari jauh, anda akan dilihat seperti menunggang motosikal bersesaran besar yang sedang menuju ke destinasi popular golongan rider – seperti Lemang To’Ki misalnya.
Mahukan penawaran yang lebih lengkap, pilih sahaja varian Project-X yang menambah tiga kotak storan besi pada bahagian belakang, rim lidi yang nampak lebih stailo serta cermin penghadang angin yang lebih tinggi.
3. Kemudahan yang boleh memudahkan tunggangan seharian
Secara standard, XDV 250i turut didatangkan dengan ruang storan bawah pelana sebesar 26 liter yang mampu memuatkan sebuah helmet saiz penuh, poket kecil dengan slot USB tersedia, serta sebuah lagi slot kuasa yang boleh diakses pada sebelah panel meter LCD.
Untuk sebuah skuter marhaen, ia dilengkapi dengan cermin penghadang angin dengan larasan manual (dua ketinggian), di mana pada pendapat penulis ia tidak cukup untuk menampan angin daripada memukul badan sewaktu tunggangan.
Kehadiran ciri lampu ‘backlight’ berwarna biru pada suis bar hendal memperlihatkan sedikit sentuhan premium untuk sebuah skuter mampu milik, tidak ketinggalan rekaan fob kunci yang boleh disalahertikan sebagai fob kunci sebuah kereta.
Dengan sistem permulaan tanpa kunci, anda hanya perlu menyimpan sahaja fob kunci itu di dalam poket sebelum, semasa dan selepas melakukan konvoi beramai-ramai.
4. Tunggangan lancar, tapi...
Saat menghidupkan enjin, gegaran yang dihantar daripada enjin silinder tunggal terus ke bar hendal itu terasa seperti menunggang sebuah mesin simulasi gempa bumi mini.
Namun saat pendikit dipulas, gegaran tersebut serta merta lesap ditelan kelajuan, dan penulis dapat rasakan tunggangan yang lebih lancar dengan hamburan kuasa 24 hp/23 Nm yang sangat mudah untuk dikawal sepanjang perjalanan.
Dengan padanan sistem gantungan KYB depan dan belakang yang memang selesa itu, seolah-olah seperti menunggang skuter yang lebih mahal pula rasanya.
Dengan dimensi badan yang tidak lebar, ia nyata lebih memudahkan urusan ‘mencilok’ di celah-celah kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur dan Klang.
Malah dalam ujian pecutan saat lampu trafik hijau dihidupkan, skuter XDV 250i ini merupakan antara calon ‘petugas baris hadapan’ yang mampu tiba di lokasi dengan lebih pantas.
Sistem brek J.Juan yang dibekalkan standard dari kilang juga bertugas dengan cemerlang untuk memberhentikan skuter ini bila diperlukan.
Set tayar dengan corak bunga yang agak besar itu mungkin nampak kecik, namun ia boleh dipercayai terutama semasa meredah jalan basah yang berlopak di sepanjang laluan motosikal.
Keseronokan dan keterujaan itu nyata boleh tergugat dek satu kelemahan yang ketara – enjin skuter ini boleh pula ‘padam sendiri’ di tengah-tengah kesesakan trafik.
Sudahnya penulis terpaksa bermain-main dengan pulas pendikit sepanjang masa meredah barisan kenderaan bagi memastikan enjin Longjia ini tidak mampus di tengah jalan dan mengundang hon yang panjang dari golongan rider yang berbaris di belakang.
5. Berapa ‘top speed’?
Ini merupakan antara persoalan wajib yang kerap ditanya oleh kebanyakan pembaca Careta.
Berdasarkan perbincangan ringkas dengan beberapa rakan media, rata-rata mereka mampu mencatatkan kelajuan maksimum yang lebih tinggi, sementara penulis hanya berani menguji setakat 130 km/j.
Itu pun sudah cukup buat diri ini, memandangkan penulis tidak begitu gemar berdepan dengan pukulan angin untuk sebuah skuter dengan posisi tunggangan yang santai.
Takkan la nak menunduk pula? Baik beli superbike gitu!
Satu cadangan yang mungkin boleh dibuat oleh bakal pembeli XDV 250i yang mahukan tunggangan atas lebuh raya yang lebih selesa adalah dengan menukar cermin penghadang angin depan supaya lebih lebar dan tinggi berbanding dimensi asal.
Selain itu, penulis tidak mempunyai sebarang komen, reka bentuk pelana XDV 250i ini pun memang selesa untuk tunggangan seharian.
6. Ciri keselamatan mendahului kelasnya
Selain daripada sistem ABS dua saluran yang sudah sepatutnya standard untuk mana-mana motosikal 250 cc, WMoto XDV 250i ini turut didatangkan dengan ciri pemantauan tekanan tayar untuk kedua-dua roda!
Satu tambahan ciri yang nyata memudahkan kebanyakan kita, memandangkan ada masa kita tidak sempat untuk memeriksa tahap tekanan tayar sebelum melakukan perjalanan.
Dengan adanya fungsi yang boleh dibaca menerusi skrin LCD, anda boleh membuat perjalanan ke stesen minyak berdekatan untuk mengembalikan semula tekanan tayar mengikut spesifikasi asal.
Atau gunakan sahaja pam tekanan mudah alih yang boleh didapati menerusi laman membeli belah dalam talian.
Kesimpulannya, skuter WMoto XDV 250i ini merupakan sebuah skuter gaya pengembaraan yang amat berbaloi untuk dimiliki.
Aspek kualiti dan kebolehpercayaan mungkin sekali boleh membataskan niat untuk membeli, almaklumlah ramai yang dah mula sibuk duk meracun sana sini.
Namun saranan penulis, sebelum membuat pembelian anda boleh masuk mana-mana Group FB pemilik untuk menilai terlebih dahulu segala kelebihan dan kekurangan yang ada pada model ini.
Sedangkan model motosikal daripada jenama terkemuka pun tidak dapat lari daripada sebarang masalah yang berbangkit. Hanya yang tahu je tahu model mana yang penulis maksudkan ini.
Jika dan hanya jika Honda tampil dengan skuter kembara bersesaran 250 cc dari awal... Bagaimana pula dengan Yamaha? Modenas?