Twisted NAS-E 4x4 - Defender 90 dengan trenkuasa elektrik, mampu bergerak sejauh 322 km sekali caj!

oleh Mohamad Hanif|
Walaupun setelah generasi baharu Land Rover Defender dilancarkan secara rasmi dengan casis yang lebih moden, masih ramai yang menginginkan casis asal Land Rover Defender yang klasik dan ikonik itu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jadi, tidak menghairankan apabila terdapat beberapa cubaan untuk menghidupkan semula bentuk asal Land Rover Defender seperti Ineos Grenadier, ataupun projek yang hadir daripada penala terkemuka seperti East Coast Defender.

 


Contoh yang kami bawakan pada artikel kali ini hadir dari sebuah syarikat dari US, Twisted Automotive dengan projek Twisted NAS-E 4x4, atau lebih mudah projek conversion Land Rover menjadi sebuah SUV off-road elektrik sepenuhnya!

Nama Twisted NAS-E 4x4 datangnya daripada model asal North American Specification (NAS) Defender 90 (Defender pendek) dengan bumbung soft-top, manakala huruf E sudah tentu mewakili trenkuasa elektrik yang dibawakan.

 


Angka produksi Twisted NAS-E 4x4 ini dihadkan kepada 30 unit sahaja, dan setiap satu unit dibina menggunakan tenaga tangan selain memenuhi regulasi dan syarat yang telah ditetapkan oleh North American EV Regulations dan California CARB.

Terdapat dua trim pilihan yang ditawarkan iaitu NAS-E dan NAS-E Plus, di mana model asas hadir dengan motor elektrik tunggal Remy BorgWarner (bukan Remy Ishak) yang mampu menghasilkan 214 kuasa kuda dan 380 Nm, manakala versi tertinggi pula mampu menjana 320 hp dan 420 Nm daya kilas.

 


Pek bateri pula berkapasiti 60 kWh yang mampu membenarkan operasi sejauh 322 km untuk sekali caj penuh, manakala sistem pengecasan 22 kW hadir sebagai ciri standard.

Opsyen pengecasan pantas juga turut ditawarkan bagi mereka yang berminat.

Bukan sekadar trenkuasa yang diubah, pihak Twisted Automotive turut menaiktaraf sistem suspensi dengan damper injap kustom untuk cengkaman yang lebih dan mampu mengurangkan kesan understeer.

 


Sistem brek pula adalah jenis angkup enam omboh di hadapan dan angkup empat omboh di belakang dari Twisted Performance, digandingkan dengan pad brek RS29 jenis hard-use. Ciri ABS dan TCS juga didatangkan sebagai standard.

Sistem pacuan 4x4 digandingkan dengan transmisi terus jenis 4WD gear-reduction yang menampilkan transfer case jenis step-down untuk kegunaan high atau low-range.

SUV off-road elektrik ini bakal ditawarkan dalam tiga warna yang diinspirasikan daripada California (Malibu, Yosemite dan Tahoe), dengan 10 unit dikhaskan untuk setiap warna.

 


Kesemua model menampilkan ciri seperti roda Twisted Sports berwarna perak, bahagian hadapan Twisted Stage One, sangkar keselamatan, hud Bimini, manakala versi NAS-E Plus pula menambah ciri seperti brush bar, tempat pemijak tepi, lampu limpah, decal badan, dan side sill hitam.

Kemasan ruang kabin pula hadir dengan tempat duduk jenis bench balutan kulit Cream dengan insert Alston Alcantara, sistem infotainmen dengan skrin sentuh dan menu khas pengurusan sistem EV, serta sistem navigasi.

Tidak dilupakan, sistem pendingin hawa, sistem audio dengan lapan saluran, kamera pandang belakang sudut lebar dan lantai unik dengan kemasan 'spray down'.

 


Harga jualan bermula dari $185,000 (RM788,563) untuk model NAS-E dan $210,000 (RM895,125) untuk model NAS-E Plus.

Berita Berkenaan

Berita Global
  Kesemua 16 buah Defender 110 tersebut disimpan dan kini dibuka untuk jualan, jarak pemanduan…