Laporan terbaharu dari Jepun mendakwa Mazda sedang membangunkan enjin rotari yang boleh disuap dengan bahan api hidrogen!
Menurut laporan BestCarWeb lagi, bahan api hidrogen didapati amat sesuai untuk digunakan pada enjin rotari, disebabkan struktur unik nadi tersebut yang tidak mendatangkan sebarang titik panas yang mampu mengakibatkan bahan api terbakar lebih awal.

Terdahulu, Mazda telah mengesahkan kehadiran semula enjin rotari dalam bentuk unit penambah jarak (range extender) untuk model MX-30, walaupun kenyataan tersebut ditarik kembali atas sebab-sebab tertentu.
Malah, terdapat juga khabar angin di mana Mazda telah melupuskan idea untuk menggunakan enjin tersebut sebagai unit penambah jarak.

Idea untuk menggunakan bahan api hidrogen pada enjin konvensional sebenarnya telah dibuktikan oleh Toyota menerusi jentera lumba Corolla Sport, di mana kereta tersebut dilengkapi dengan tangki hidrogen, dan bahan api tersebut disuapkan kepada enjin tiga silinder 1.6 liter yang diperoleh daripada GR Yaris.
Toyota menggunakan platform perlumbaan Super Taikyu Series ini untuk meneroka potensi serta menyelesaikan permasalahan penggunaan bahan api hidrogen sebagai alternatif kepada kenderaan elektrik.
Jadi, berbalik semula kepada idea enjin rotari dengan bahan api hidrogen, adakah ia bakal menjadi satu kenyataan pada masa akan datang?
Sumber: BestCarWeb