Vespa GTV 300 2023 telah muncul buat kali pertama di acara pameran motosikal berprestij di Eicma 2022, Itali, di mana ia didatangkan dengan beberapa penambahbaikan baharu.
GTV 300 sememangnya hadir sebagai model sporti dari Vespa bersama peminat tersendirinya, di mana generasi pertamanya diperkenalkan pada tahun 2006 yang menjadi salah satu model ikoniknya.
Dari segi kuasa, ia kekal menjadi model Vespa paling berkuasa dengan enjin HPE 278 cc bersama transmisi CVT yang menghasilkan sehingga 23.8 HP dan 26 Nm.
Untuk kemaskini tahun 2023, GTV 300 hadir dengan dua warna baharu iaitu Beige Sabbia Glossy dan Grey Titanio Glossy bersama kemasan berwarna jingga yang menyerlahkan lagi penampilannya.
Beberapa penambahan baharu termasuklah lampu LED penuh, sistem penyalaan tanpa kunci, panel meter LCD penuh, serta tambahan pelindung tempat duduk belakang dan pelindung meter berwarna jingga.
Meningkatkan lagi ciri moden, GTV 300 2023 turut didatangkan standard bersama ciri kawalan cengkaman elektronik (ASR) sistem ABS dua saluran.
Menariknya, sistem ketersambungan telefon pintar melalui sistem VESPA MIA turut didatangkan sebagai ciri pilihan tambahan.
Selain penambahan baharu itu, GTV 300 2023 masih dilengkapi rim bersaiz 12 inci yang dibalut tayar bersaiz 120/70 di depan dan 130/70 di belakang.
Untuk pasaran Malaysia, Vespa GTV 300 2023 ditawarkan bermula dari RM35,900