Menurut bos Volvo, ia merupakan salah sebuah model pertama yang bakal dibangunkan menggunakan platform kereta elektrik tulen yang dimiliki oleh syarikat induk Geely.
Platform EV yang dimaksudkan adalah pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) diperlihatkan baru-baru ini menerusi model Lynk & Co Zero Concept, di mana ia merupakan platform sumber terbuka yang boleh digunakan oleh mana-mana pihak.
Menurut Hakan Samuelsson, amat sukar untuk menggunakan platform CMA (Volvo XC40) secara menyeluruh, di mana ia merupakan platform untuk EV dan kereta berenjin pembakaran dalaman.
"Jadi, jika anda mahu sebuah kereta yang lebih kecil daripada XC40, platform SEA adalah jawapannya.
Tahun lalu, Samuelsson memberikan bayangan Volvo bakal hadir dengan sebuah model yang lebih kecil, mencadangkan ciri-ciri premium yang turut terdapat pada model Volvo sedia ada.
Tiada sebarang tempoh masa diberikan untuk model baharu ini, namun Samuelsson mengesahkan ia merupakan salah satu daripada pelan perancangan Volvo dalam usaha untuk memastikan separuh daripada hasil penjualan adalah model EV tulen menjelang tahun 2025.
Selain daripada Volvo XC20, pengeluar automotif Sweden itu juga turut merancang untuk memperkenalkan model kereta baharu (elektrik) di bawah siri 40 dan SUV bertaraf mercu yang lebih besar XC100.
Difahamkan, Volvo XC100 dibangunkan daripada platform SPA2 yang mampu menyokong kenderaan berdimensi sehingga 5.5 meter panjang, lebih panjang daripada XC90 sedia ada dan mampu mengatasi dimensi yang ada pada BMW X7.
XC100 ini bakal menampilkan penawaran pelbagai jenis trenkuasa, bermula daripada enjin petrol mild-hybrid, plug-in hybrid serta trenkuasa elektrik sepenuh masa.
Sumber: AutoExpress UK