Menurut Robin Page, Naib Presiden Rekaan Volvo berkata, "lima tahun yang lalu, kami menjadikan jenama Mercedes-Benz, BMW dan Audi sebagai tanda aras bagi kenderaan kami, dan misi kami ialah untuk kalahkan mereka."
"Namun kini, kebanyakan laporan menyebut bahawa (Volvo) kini menjadi tanda aras, dan mengalahkan jenama tersebut dari pelbagai aspek," tambah beliau ketika majlis pelancaran SUV kompak pertama Volvo di Australia, XC40.
Walaupun berpuas hati dengan beberapa laporan media berkenaan prestasi yang ditunjukkan oleh Volvo masa kini, menurut Page, Volvo tidak akan berdiam diri dan terus duduk di takuk yang sama semata-mata.
Menurut Page lagi, cabaran seterusnya adalah untuk menjadikan Tesla sebagai tanda aras baharu dan seterusnya mengatasi pencapaian Tesla di dalam sektor kenderaan elektrik.
Sejajar dengan pengesahan Volvo bahawa mereka tidak akan membina enjin diesel bagi penawaran model mereka, Volvo kini merancang untuk memperkenalkan model baharu menjelang 2019 dengan beberapa pilihan pacuan elektrik seperti mild-hybrid, plug-in hybrid atau elektrik sepenuhnya.
Perancangan ini dilihat selari dengan visi yang dibicarakan oleh CEO Volvo, Hakan Samuelsson bahawa separuh daripada kenderaan keluaran Volvo yang dijual secara global akan dipacu menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya menjelang 2025 dengan mensasarkan pasaran China sebagai target utama jualan.
Sumber: Motoring AU