Divisyen Volvo Heritage baru-baru ini telah mendedahkan lakaran SUV rekaan berkotak yang tidak sempat direalisasikan menjadi kenderaan produksi sebenar.

CEO Volvo pada ketika itu, Pehr Gyllenhammar meminta pengurus reka bentuk Gunnar Falck untuk menghasilkan sebuah kenderaan lasak untuk pasaran Afrika dan negara membangun.
Rekaan badan dan lampu depan yang berpetak, jeriji hadapan menegak, serta emblem pepenjuru klasik itu dilihat bertepatan dengan bahasa rekaan yang diguna pakai oleh Volvo era 70-an.
Di bahagian sisi pula, ia menampilkan arka roda yang agak bersegi, jarak lega bumi yang tinggi, serta tayar simpanan yang terletak di bahagian belakang.

Jarak juntaian (overhang) yang pendek pula membolehkan SUV ini menawarkan sudut pendekatan, pelepasan dan break-over yang tinggi, ciri yang amat berguna untuk pemanduan off-road.
Sekiranya diberikan lampu hijau, model yang tidak mempunyai sebarang nama rasmi ini mampu memberikan saingan kepada model SUV off-road seperti Jeep Wrangler atau Land Rover Defender.