Menyedari kepentingan segmen tersebut terutama di Brazil, Volkswagen kini membawakan model baharu Polo Track bagi menggantikan model Gol sedia ada.
Biarpun dengan rupa paras yang premium, Polo Track sebenarnya dihasilkan dengan kelengkapan yang sangat asas bagi menjadikan harga yang lebih mampu milik.
Membezakan Polo Track dengan Polo standard adalah kehadiran rekaan jeriji yang unik, ketiadaan jalur LED, unit lampu utama halogen, dan kemasan liang kemasukan udara yang berbeza.
Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu yang moden, perkataan "Track" di bawah logo VW serta kehadiran skid plate pada bahagian bampar.
Namun, disebalik rupa paras yang serba moden itu, pembeli akan disambut dengan ruang kabin yang sangat asas penawarannya.
Ia bukan sahaja membawakan unit radio yang sangat ketinggalan zaman, Polo Track ini juga menggunakan tombol pelarasan suhu kabin manual, rekaan meter yang klasik, dan tempat duduk balutan fabrik.
Tidak semua kelengkapannya ketinggalan zaman, anda masih lagi boleh mendapatkan ciri seperti stereng elektrik, tingkap berkuasa (di hadapan), sambungan Bluetooth, roda stereng dengan butang fungsi, serta slot pengecasan USB.
Secara standard, Polo Track didatangkan dengan ciri keselamatan seperti empat beg udara, Bantuan Mula Mendaki, ESC, amaran tali pinggang keledar, serta cagak ISOFIX dan top tether point untuk tempat duduk kanak-kanak.
Model yang menggunakan platform MQB ini hanya dipadankan dengan enjin 1.0 liter MPI aspirasi natural dengan 83 hp dan 101 Nm.
Enjin yang boleh menerima suapan bahan api petrol dan ethanol itu digandingkan dengan transmisi manual lima nisbah kelajuan dan pacuan roda hadapan sahaja.
Serentak dengan pengenalan Polo Track, VW turut mengumumkan model Gol terakhir (Gol Last Edition) dengan angka produksi terhad kepada 1,000 unit.
Sebagai makluman, VW Gol telah diproduksikan selama 42 tahun dan menjadi model paling laris di pasaran Brazil selama 27 tahun.
Selepas menamatkan produksi Gol di Sao Bernardo do Campo, VW akan memasang mula memasang Polo Track di kilang Taubate, Brazil.
Harga jualan VW Polo Track 1.0 MPI bermula dari R$79,990 (RM68,173), jauh lebih murah berbanding Polo 1.0 TSI yang lebih lengkap spesifikasinya (R$92,990 - RM79,253).
Volkswagen Gol Last Edition 2023