VW Track Day - Golf GTI baham Golf R!

oleh HEZERI SAMSURI|
Jenama Volkswagen ialah satu nama lazim di Eropah.

Ia umpama Perodua untuk kita; pembelian "default" atau lazim bila mereka perlukan sebuah kenderaan baharu.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sudah biasa menjemput pihak media untuk mencuba kenderaan-kenderaan mereka tetapi kali ini, VPCM mahukan kami memandu model-model standard mereka di litar Sepang pula.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Peluang untuk mencuba kenderaan di litar tersebut juga bukan sesuatu yang baharu. Malah, Perodua menggunakan litar Sepang untuk media memandu uji Myvi generasi pertama walaupun mereka tahu litar itu terlalu besar untuk kenderaan berenjin 1.0L dan 1.3L.

Namun begitu, memandu uji kenderaan di litar Sepang pada waktu malam bukan sesuatu yang pernah kami lakukan acapkali. 

 

 

Kami hadir ke lokasi tersebut selepas Maghrib. Paddock selatan digunakan kerana ia cuma menggunakan separuh (selatan) dari trek tersebut.

Undian dilakukan dan kami diberi dua buah kenderaan untuk dipandu - sebuah Golf 1.4 Sportline dan sebuah Golf GTI. Tidak cukup masa untuk memandu varian lain seperti Passat, Jetta dan Tiguan.

Sementara menantikan giliran, kami sempat juga mencari makan malam di trak-trak makanan yang disediakan. Penulis makan hanya sedikit sahaja kerana mahu memastikan badan lebih ringan dan menjadikan kereta lebih laju. 

Kononnya.

 

 

Selepas makan, kami melihat jualan-jualan barangan Volkswagen dari peniaga-peniaga karavan, dan juga pameran produk oleh VPCM. 

Wujud juga pameran oleh rakan teknikal mereka, Continental Tyre Malaysia. Menarik kerana syarikat tayar dari Jerman itu mempunyai jalinan kerjasama yang kuat dengan Volkswagen, juga dari negara yang sama. 

Sememangnya Volkswagen bukan pembuat sebuah kereta biasa-biasa. Teknologi yang digunakan membenarkan ia menghasilkan produk yang jimat minyak tetapi tetap berkuasa.

100hp di dalam kereta Asia tidak sama dengan 100hp di dalam kereta Eropah dan Volkswagen memang membuktikannya malam itu.

Kami mulakan dengan Golf 1.4 TSI Sportline berwarna biru, varian Golf paling pekak pada malam itu. 

Walaupun dalam keadaan standard, cuba lihat spesifikasinya pula:

Volkswagen Golf 1.4 TSI Sportline

  • Kuasa maksimum: 150 hp
  • Daya kilas maksimum: 250 Nm
  • Transmisi: DSG 7-kelajuan
  • Pecutan 0-100kmsj: 8.2 saat
  • Halaju maksimum: 216 kmsj
  • Kecekapan bahan api: 5.2L/100km
  • Jarak perjalanan setangki: 900 km (ujian Eropah)

 

 

Dengan harga RM155,990, Golf kini sudah masuk dalam lingkungan harga kereta sedan segmen D Jepun (varian Sportline juga sudah diberhentikan, dan cuma ada Golf 1.4 TSi R-Line dengan harga RM173,390).

Bermula dari pit, kami cuma diberi dalam enam pusingan (lap) untuk bermain. 

Apa yang kami lakukan ialah mencari sasaran, dan sasaran kami pada ketika itu ialah Golf GTI yang berada di posisi kedua. Kami bermula dari kedudukan keenam - bermakna ada tiga buah kenderaan memisahkan kami.

Memandu di litar Sepang pada sebelah malam tiada bezanya kerana lampu limpah yang digunakan cukup untuk menerangi setiap selekoh yang ada.

Titik membrek atau "braking point" semakin jelas kerana VPCM meletakkan kon-kon petanda. Malah, kon untuk apex selekoh turut diberikan.

Menghairankan kerana masih ada yang memandu bersimpang siur seperti tiada arah tujuan. Racing-line yang diberi tidak diikut, menyebabkan kami sekali sekala terpaksa membrek kuat untuk mengelakkan pemandu lain yang masuk ke selekoh mengikut prinsip makcik ke pasar - "ikut suka hati makcik la nak".

Selepas tiga pusingan, kami sudah berjaya berada di belakang Golf GTI yang dipandu oleh seorang yang nampaknya tahu apa maksud racing line.

 

 

Teknik kedua ialah memberikan tekanan. Memandu di litar bukan setakat siapa yang mempunyai kenderaan yang lebih laju.

Golf GTI mempunyai 80 hp lebih kuasa dan 100 Nm lebih daya kilas. Bukan sesuatu yang logik untuk sebuah Golf 1.4 TSI untuk memotongnya.

Tetapi kami bayangkan kami memandu sebuah hatchback kuning jenama nasional dengan enjin 1.5L - walaupun tidak laju dan tidak ada enjin yang berkuasa, kami tetap setia berada tiga inci dari bamper belakang anda.

Akhirnya tekanan demi tekanan diberikan, Golf GTI tersebut mula membuat kesilapan di selekoh dan di Selekoh 9 (Turn 9), GTI itu menyasar understeer dan R-Line menyelinap di celah, lantas meninggalkan GTI itu yang terus tidak lagi kelihatan.

Misi pertama kami tamat dengan jayanya.

 

 

Sesi kedua akan berlangsung dalam masa setengah jam lagi, memungkinkan penulis pergi ke tandas untuk meringankan lagi badan. 

Sementara itu, Salina yang duduk di sebelah pemandu pergi untuk mencari ketenangan jiwa. Mungkin dia beranggapan R-Line tidak boleh "ngap" sebuah GTI.

Nama penulis dipanggil untuk sesi kedua, dan kali ini sebuah GTI berwarna putih menanti.

Sekali lagi, kereta penulis diletakkan di tengah-tengah kelompok. Mungkin kerana penulis masuk lambat dari trek sebelumnya kerana "terlepas" simpang ke pit. 

 

 

"Tak apa, kita kerja kuat sikit. Misi kita kali ini, Golf R di hadapan itu," ujar penulis kepada Salina yang terkial-kial mencari talipinggang keledar sambil memegang kuat beg tangan Coach beliau.

"Masuk trek pun bawak handbag, memang perempuan," kata penulis di dalam hatinya, mengumpat di dalam diam.

Sesi bermula dan kami terus teruja dengan prestasi Golf GTI itu.

Selalu memandu di jalan awam di mana kami memandu mengikut halaju yang dibenarkan (ehemm ... ), kali ini dilitar yang tidak ada batasan halaju dan kenderaan yang dipandu pula bukan milik kami - keadaan sempurna untuk menguji sehingga ke tahap maksimum.

Volkswagen Golf 2.0 TSI GTI

  • Kuasa maksimum: 230 hp
  • Daya kilas maksimum: 350 Nm
  • Transmisi: DSG 6-kelajuan
  • Pecutan 0-100kmsj: 6.4 saat
  • Halaju maksimum: 248 kmsj
  • Kecekapan bahan api: 6.4L/100km
  • Jarak perjalanan setangki: 700 km (ujian Eropah)

 

 

Dengan harga RM246,490, Golf GTI sudah mengetuk pintu Mercedes-Benz C200 dan BMW 320i. Cuma untuk C-Class dan 3-Series, anda mendapat varian paling loklaq di dalam model tersebut.

GTI pula ialah sebuah lagenda dengan prestasi yang jauh lebih menggiurkan. 

Di litar Sepang malam itu, kelebihan tenaga dari enjin 2.0L turbo digunakan secara maksimum untuk memintas Passat, Tiguan dan Golf 1.4 TSI R-Line yang berada di hadapan penulis.

Selepas dua pusingan, kami berjaya memintas semuanya kecuali satu - sebuah Golf 2.0 TSI R berwarna biru. 

Walaupun Golf R ialah jentera yang nampak biasa-biasa, ia bukan sebuah kenderaan sembarangan. Ia tidak seperti peminat jenama H, perlukan sayap, kepak, emblem serta logo pada t-shirt untuk kelihatan laju.

 

 

Dengan 60hp dan 30Nm lebih berkuasa, Golf R boleh melakukan pecutan 0-100kmsj dalam masa 5.1 saat dan halaju maksimum ialah 250 kmsj.

Namun begitu, usaha tangga kejayaan dan asakan strategik di kawasan berselekoh tajam dan teknikal menyaksikan Golf R itu tersilap langkah, membuka ruang di sebelah dalam bagi membenarkan GTI kami menyelinap masuk dan terus meninggalkannya.

Setibanya di pit, Golf GTI kami mengeluarkan asap di hadapan. Kami tahu ia bukan dari enjin kerana tiada lampu amaran yang wujud.

 

 

Asap tersebut datang dari brek hadapan, di mana cakeranya membara merah kerana panas. Dalam usaha kami untuk memintas Golf R, brek itu digunakan semaksima mungkin.

Selepas beberapa minit disejukan, Golf GTI itu sudah sihat dan bersedia untuk dibelasah oleh media seterusnya.

Sementara itu kami duduk di tepi, gembira dengan hasil usaha kami. 

"Mungkin skil pemanduan aku sudah sampai tahap maksima," penulis berkata di dalam hatinya.

"Atau mungkin sudah tiba masanya aku perlu berlumba secara profesional, ya, sudah tiba masanya," sambung penulis lagi.

Tiba-tiba nama penulis dipanggil untuk sesi seterusnya - duduk bersama Jazeman Jaafar, pelumba profesional yang telah memenangi perlumbaan World Endurance Championship (WEC) tahun ini.

 

 

Empat pusingan di dalam Golf R bersama Jazeman membuktikan skil seorang pemandu profesional jauh sekali berbeza dengan penulis cabuk ini. 

Umpama langit dengan bumi, Neelofa dengan Whoopi (Goldberg), Bata tapak hijau/merah dengan Nike VaporMax.

Jazeman menunjukan kebolehan Golf R bila berada di tangan seorang pemandu profesional. Sungguh tenang dan sungguh meyakinkan. 

Brek ditekan pada kadar yang cepat dan tepat, tanpa sebarang keperluan untuk trail braking. Selekoh diambil dengan berdisiplin, tanpa ada bunyi-bunyi ala Sherif Lobo mengejar Knight Rider dan setiap pecutan dilakukan sebaik sahaja keluar dari apex (puncak) selekoh.

 

 

Selesai sesi pemanduan bersama Jazeman, penulis melangkah lemah ke kenderaan sendiri.

"Aku tak dapat pandu Golf R di trek tadi. Cuma dapat Golf GTI. Mungkin kalau aku bawa Golf R itu tadi, aku boleh atasi masa Jazeman, atau mungkin Schumacher sekali," fikiran penulis menerawang segala kemungkinan.

Sebenarnya, Volkswagen memungkinkan idaman anda kerana prestasinya yang lebih dari paras biasa.

Cuba pandu uji sebuah, pasti anda tersenyum simpul berangan. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…