Sebagai sebuah syarikat berpengalaman, Yamaha telah banyak menghasilkan inovasi baharu seperti penuangan (casting) roda magnesium secara massa untuk YZF-R1 pada tahun 2015.
Teknologi pembuatan roda Yamaha SpinForged Wheels adalah satu daripada daripada program penyelidikan aluminium.
Menariknya, individu penting atau pakar aluminium dalam projek ini ialah seorang wanita bernama Kahori Oshima dari Jabatan Bahan Yamaha Motor.
Roda Yamaha SpinForged Wheels dibuat menggunakan kaedah flow forming.
Sebelum itu apakah kaedah flow forming?
Ianya melibatkan pembentukan (forming) atau melebarkan dan regangan roda dari bahagian dalam sehingga ukuran atau lebar yang dikehendaki.
Regangan itu dibuat menggunakan tekanan dengan cara dipusingkan (flow) selepas selepas siap penuangan.
Proses ini melebarkan (stretch) dan memampat (compress) aluminium dan meningkatkan kekuatan tegangan (tensile).
Hasil akhir menjadikan roda lebih ringan dan kuat.
Roda kereta tidak sama dengan motosikal
Bagaimanapun, proses tersebut lazimnya digunakan bagi pembuatan roda kereta dan sangat berbeza untuk motosikal.
Roda kereta tidak memerlukan bahagian yang serupa pada kedua-dua belah sisi luar dan dalam.
Dengan itu, Yamaha melakukan kajian dengan mendalam termasuk menggunakan kombinasi aluminium berbeza bagi mencari bahan, kaedah serta kekuatan dan ketahanan bersesuaian.
Cabaran tersebut dapat ditangani oleh bahagian kejuruteraan dan pembuatan Yamaha dan mereka berjaya mencipta aloi aluminium khas dan proses pemanasan baharu.
Projek itu juga membolehkan Yamaha menghasilkan roda motosikal secara massa yang pertama menggunakan kaedah flow forming.
Seperkara lagi yang utama, Yamaha SpinForged Wheels pada MT-09 2021 mempunyai ketebalan 2 mm berbanding 3.5 mm pada model terdahulu.
Roda depan dan belakang pula 700 gram lebih ringan.
Nampak seperti tidak seberapa namun cukup penting untuk industri motosikal apabila roda dapat dibuat menggunakan kaedah flow forming.
Penulis: Muhammad Md Tajudin