Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, penanda aras baru (unjuran jualan) itu dibuat selepas meneliti respon positif terhadap rangkaian model sedia ada mereka.
"Kejayaan dicapai Perodua hari ini, yang mana kalau kita lihat menjadi jenama kenderaan paling laris terjual di Malaysia hadir menerusi graf permintaan berterusan terhadap model sedia ada terutamanya Bezza.
"Untuk tahun ini sahaja, kita menjangkakan jumlah industri keseluruhan bakal meningkat kepada 590,000 unit. Angka tersebut diperoleh menerusi audit dalaman yang dijalankan baru-baru ini," katanya.
Jelas Aminar, jika angka itu (jumlah industri keseluruhan) berjaya dicapai bermakna perkongsian pasaran Perodua akan terus kekal 35 peratus atau lebih.
Tambahnya, Perodua optimis sasaran jualan tersebut mampu dicapai susulan corak permintaan berterusan terhadap model Myvi selain keadaan ekonomi yang lebih baik tahun ini.