Menerusi gambar tersebut, Subaru WRX STI S209 ternyata nampak lebih garang dengan penambahan elemen seperti fender flare, ruang arca roda yang lebih muskular serta penampakan sayap belakang - mengingatkan kita kepada versi Type RA suatu ketika dahulu.
Sebelum ini Subaru telah mengesahkan kemunculan rasmi WRX STI S209 menerusi sekeping imej yang menunjukkan bahagian gril hadapan serta lencana S209 yang terletak kemas di bahagian kiri sedan prestasi tersebut.
Mengikut tradisi yang dibawa oleh model S206, S207 dan S208, S209 juga akan dihasilkan di dalam unit yang sangat terhad, selain membawakan peningkatan kepada unit penghasilan kuasa kuda serta aspek pengendalian.
Sekadar maklumat tambahan, Subaru sebelum ini pernah melancarkan WRX STI Diamond Edition dengan kuasa 349 hp, menjadikannya antara WRX STI paling berkuasa di dalam keluarga sedan prestasi tersebut.
Adakah S209 baharu ini akan menjangkau kuasa yang dihasilkan oleh WRX STI Diamond Edition?
Sama-sama kita nantikannya minggu hadapan.