
Lebih berani, WRX menggunakan kotak gear CVT atau dipanggil Subaru Performance Transmission (SPT).
Pasaran sedan berprestasi tidak besar dan jika difikirkan sukar untuk terus kekal namun Subaru berjaya melakukannya.
Subaru sebenarnya menemui lubuk pelanggan yang sanggup menyokong WRX.
Pada 2023, sebanyak 24,681 unit WRX dijual di Amerika Syarikat. Angka itu melonjak 32 peratus daripada 18,662 unit pada 2022.

Bukan sahaja WRX, BRZ juga disambut baik dengan jualan 4,188 unit atau peningkatan 25 peratus daripada 3,345 unit tahun sebelumnya.
Tiga dan empat ribu bukan besar namun angka yang baik untuk sebuah coupé.
Subaru baru sahaja memperkemaskan WRX untuk 2024 dan menawarkan empat varian iaitu Premium, Limited, TR dan GT.
Seperti biasa, WRX digerakkan enjin 2.4 liter Boxer dengan 271 kuasa kuda (hp) pada 5,600 rpm dan tork 350Nm dari 2,500 sehingga 5,200 rpm.

Enjin itu dipadan bersama kotak gear manual enam kelajuan yang dijadikan ciri asas pada semua varian kecuali GT dengan kotak gear SPT.
Turut dipadankan sistem semua roda Symmetrical All-Wheel Drive dan dilengkapi Active Torque Vectoring.
WRX TR tampil dengan perkakasan istimewa di antaranya kerusi depan Recaro® Performance Design, brek Brembo, rim aloi 19 inci dan tayar Bridgestone Potenza S007.
Subaru WRX 2024 ditawarkan dari AS$32,735 (RM151,702) sehingga AS$44,215 (RM204,907).

Dari segi jualan keseluruhan 2023, Outback berada di kedudukan teratas dengan angka 161,814 unit (+10%) dan diikuti Crosstrek sebanyak 159,193 unit (+3%).
Forester di tempat ketiga dengan 152,566 unit (+34%). Satu-satunya kenderaan elektrik yang ditawarkan ialah Solterra dengan 8,872 unit atau lonjakan 865.4 peratus berbanding 2022.
Subaru berjaya meningkatkan jualan sebanyak 13.6 peratus kepada 632,086 unit pada 2023.
Penulis: Muhammad Md Tajudin
