Antara model kenderaan elektrik (EV) yang paling penulis tunggu-tunggu pada tahun ini tidak lain dan tidak bukan, Honda Urban EV yang comel lote itu.
Masakan tidak, ia dibina berdasarkan rekaan generasi pertama Honda Civic hatchback itu cukup menarik dengan adunan teknologi terkini, bentuk badan hatchback dan gandingan elemen retro yang menjadi amalan arus perdana pada masa kini.
Malah, rekaan ini turut memenangi Anugerah Kereta Konsep Terbaik sempena Anugerah Reka Bentuk Kereta 2018 yang dianjurkan sebagai acara di Pameran Kenderaan Turin pada 7 Jun lalu.
Prototaip kenderaan elektrik (EV) kompak Honda, iaitu Urban EV bakal diperkenalkan secara rasmi pada acara Geneva Motor Show tidak lama lagi.
Honda mengambil kesempatan ini untuk mendedahkan sedikit gambar teaser atau acah yang menunjukkan ruangan kabin hatchback berkuasa elektrik ini.
Seiring dengan perkembangan teknologi, tugas kluster meter analog telah pun digantikan dengan ciri paparan skrin ultra lebar, jika diperhatikan dengan teliti seakan-akan tiga skrin berasingan dicantumkan menjadi satu.
Tugas skrin-skrin ini memberikan paparan kepada beberapa fungsi di dalam kenderaan seperti sistem multimedia, status pengecasan kenderaan serta beberapa tetapan yang lain.
Ciri kawalan pendingin hawa juga diberikan butang berasingan yang terletak di bawah corong aliran udara.
Bahagian stereng Urban EV ini juga cukup sarat dengan pelbagai fungsi yang penting seperti bantuan pengekalan laluan, lampu utama automatik, butang paparan kamera yang menggantikan peranan cermin fizikal dan akses kepada pemanas terbina dalam.
Sebagaimana yang dikesan menerusi gambar intipan, Honda Urban EV bakal ditawarkan dalam konfigurasi hatchback lima pintu dan bukan tiga pintu sebagaimana model konsep yang dipamerkan.
Butiran mengenai sistem bateri dan motor elektrik hanya akan didedahkan kepada umum menjelang 5 Mac nanti.
Tidak sabar untuk kita nantikan bagaimana Honda Urban EV ini bakal menguasai jalanan kelak.