Bagaimana dengan pasaran tempatan? Genesis masih belum mempunyai operasi rasmi namun sedan mewah Hyundai Genesis pernah dilancarkan di dalam negara pada tahun 2015. Model tersebut dijual pada harga sekitar RM390,000.
Setelah bermain dengan kereta penumpang bersaiz besar dan mewah, Genesis tampil dengan Mint Concept yang dipertontonkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa New York 2019.
Mint Concept adalah sebuah kereta elektrik (EV) dalam segmen premium bandar dan hadir dengan reka bentuk unik dan comel.
Mint Concept sebenarnya adalah projek kerjasama di antara studio reka bentuk Genesis di serata dunia dan diterajui oleh Genesis Global Advanced Design di Jerman, pereka di Amerika Syarikat dan Pusat Reka Bentuk Namyang di Korea Selatan.
Model konsep ini comel dan sporti dengan dua pintu namun hanya boleh memuatkan dua penumpang sahaja. Walaupun hadir dengan warna Hunter Green kusam (matte), reka bentuk Mint Concept tetap menyerlah melalui bentuk tiga kotak dengan overhang singkat pada bahagian depan dan belakang.
Satu perkara unik tentang Mint Concept ialah bukaan ruang simpanan belakang adalah melalui pintu scissor pada kedua-dua sisi kereta. Kaedah ini dikatakan mudah untuk menyimpan dan mengambil barangan daripada tepi kereta.
Gayaan dalaman pula mengambil tradisi Korea dalam menghargai ruang dan reka bentuk perabot moden Eropah. Bahagian dalaman direka supaya tampil luas melalui penggunaan tekstil ringan, kulit berwarna perang dan tingkap tanpa pemisah.
Lagi ciri unik ialah pada konsol tengah yang boleh disimpan ke dalam dan menjadikannya kerusi panjang ibarat sofa.
Stereng berbentuk oblong atau lonjong dikelilingi oleh enam Graphic User Interface (GUI) dalam bentuk bulat yang memaparkan maklumat penting untuk fungsi kenderaan secara berasingan. Skrin ketujuh pula teretak pada bahagian belakang stereng dan memaparkan maklumat utama dan membolehkan pemandu fokus pada jalan raya.
Dari segi kuasa, Mint Concept mempunyai jarak perjalanan anggaran sehingga 321 km dalam pengecasan penuh dan 350 KW pengecasan pantas.
Sama seperti namanya, model premium ini masih lagi berada dalam peringkat konsep. Genesis tidak memaklumkan sama ada bakal dipasarkan atau tidak tetapi penulis berpendapat Mint Concept adalah idea menarik dan patut dibawa ke tengah.
Saingannya kelak? EV buatan jenama smart dan model-model comel daripada China.
Penulis: Muhammad Md Tajudin