Teknologi yang menjanjikan sebuah corak perniagaan yang lebih telus didakwa kini menggunakan algoritma sendiri yang menentukan berapa banyak pemandu akan dibayar.
Demonstrasi atau mogok itu dilakukan di beberapa bandar utama di dunia termasuk Chicago, London dan Washington. Pemandu-pemandu e-hailing di bandar-bandar tersebut mahukan pekerjaan yang lebih terjamin, pendapatan yang mapan, sistem tambang yang telus serta had komisen yang diambil oleh syarikat e-hailing agar pemandu menerima 80 ke 85 peratus dari kadar tambang.
Pemandu-pemandu Uber dan Lyft di New York menutup aplikasi mereka semalam dari jam 7.00 am hingga 9.00 am dan melakukan demonstrasi aman di atas Jambatan Brooklyn.
Di San Francisco, demonstrasi dilakukan di hadapan ibu pejabat Uber dalam keadaan gembira dan disokong oleh pengguna jalanraya yang lalu lalang di situ.
Demonstrasi dan mogok itu dilakukan sempena tawaran IPO untuk Uber pada Jumaat nanti yang dijangka akan membawa jumlah pelaburan sebanyak US$9 billion.
Menurut Moira Muntz, jurucakap untuk Persatuan Pemandu Persendirian (Independent Drivers Guild) yang mewakili 70,000 pemandu e-hailing di New York, amat sukar untuk pemandu mengetahui berapa banyak yang diterima setiap hari, terutama selepas menolak kos masing-masing.
Uber dan Lyft menggunakan sistem tambang yang memberitahu pelanggan berapa kos perjalanan itu, sebelum perjalanan dimulakan.
Dahulu, pemandu akan diberikan peratusan dari jumlah tambang tersebut.
Kini, Uber dan Lyft membayar pemandu berdasarkan masa dan jumlah perbatuan perjalanan tanpa mengambil kira jumlah harga tambang yang telah ditawarkan kepada penumpang.
Ini menimbulkan rasa gusar kepada pemandu kerana mereka tidak tahu berapakah jumlah sebenar yang mereka akan dapat dari satu perjalanan.
Pemandu Uber di US berkata pendapatan mereka sudah menurun dan ini membimbangkan.
Di Malaysia, ada juga pemandu e-hailing yang mula mengeluh kerana pendapatan merosot dan peraturan baharu bakal menjadikan mereka seperti pemandu teksi.
Penulis sendiri mengalami masalah mendapatkan pemandu e-hailing dan terpaksa kembali menggunakan teksi dengan harga yang lebih tinggi.
Menurut beberapa pemandu teksi tempatan, harga tambang mereka adalah lebih "logik" kerana harga tambang yang dikenakan oleh perkhidmatan e-hailing hanya akan membunuh pemandu mereka sendiri.
Apa pendapat anda?