Seperti kelaziman apabila sesebuah kenderaan yang menghampiri fasa akhir kitaran model, Ford juga dikatakan sedang membangunkan generasi baharu trak pikap tersebut sebagai model tahun 2021.
Menurut laman automotif Which Car yang memetik sumber dalaman Ford You Yangs, generasi baharu Ford Ranger berkemungkinan besar akan menerima trenkuasa V6 untuk kedua-dua varian petrol dan diesel.
Sumber turut memberitahu bahawa kedua-dua enjin diesel Power Stroke 3.0 liter turbo tunggal dan enjin 2.7 liter turbo berkembar Nano Ecoboost kini sedang diuji di Australia.
Enjin petrol 2.7 liter bentangan V6 ketika ini sudah pun digunakan pada model trak pikap Ford F-150 yang mampu menjana 325 kuasa kuda dan 524 Nm daya kilas.
Namun, difahamkan penggunaan enjin petrol yang disebutkan diatas lebih dikhususkan kepada pasaran Amerika Utara, manakala enjin 3.0 liter V6 (249 hp/597 Nm) pula lebih sesuai ditawarkan untuk pasaran Australia.
Sebagai makluman, Ford Ranger mempunyai variasi enjin yang ditawarkan kepada pengguna - bermula dari enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo sehinggalah kepada enjin lima silinder sebaris 3.2 liter bergantung kepada pasaran.
Manakala versi paling berkuasa Ranger Raptor pula ditawarkan dengan enjin 2.0 liter yang hadir dengan bantuan induksi paksaan turbo berkembar berkuasa 210 hp dan 500 Nm.