Dalam satu video ringkas, kali ini kita dapat melihat sekali imbas bagaimana bentuk yang bakal diambil oleh EV pertama Mazda, iaitu penampakan sebuah SUV coupe.
Klu penting ini boleh dilihat menerusi garisan bumbung yang lebih rendah, di mana Mazda menyifatkannya mempunyai kabin ala-ala coupe.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan tindakan Mazda yang menguji trenkuasa EV menggunakan badan sebuah crossover CX-30, di mana ia merupakan calon yang sesuai bagi SUV coupe elektrik pertama Mazda.
Dari segi reka bentuk luaran, Mazda tidak pernah melupakan bahasa rekaan Kodo - Soul of Motion sebagai motif utama, namun EV pertama Mazda ini bakal meneroka dimensi dan arah tuju baharu yang lebih menekankan nilai futuristik dan gaya hidup yang berubah-ubah.
EV pertama Mazda ini bakal menampilkan reka bentuk hadapan yang lebih mesra dan unik, manakala trenkuasa pula didatangkan dalam bentuk sebuah motor elektrik yang mampu menjana 141 kuasa kuda dan 265 Nm digandingkan dengan pek bateri 35.5 kWh.
Sama-sama kita nantikan bagaimana hasil akhir yang bakal dipertontonkan pada Tokyo Motor Show, 23 Oktober ini.