Aston Martin selaku pengeluar kenderaan premium British kini menceburkan diri dalam dunia dua roda dan sudah pun mempunyai perancangan tersendiri untuk memperkenalkan motosikal edisi terhad.
Motosikal Aston Martin dihasilkan menerusi kerjasama dengan Brough Superior bagi memastikan produk motosikal tersebut memiliki keseimbangan yang tepat antara prestasi dan rekaan.
Malah, ia juga merupakan kombinasi visi antara Naib Presiden Eksekutif Aston Martin, Marek Reichman dan juga CEO Brough Superior, Thierry Henriette yang mana kedua-duanya juga merupakan peminat motosikal sejati.
Lakaran kasar yang ditunjukkan tidaklah menampakkan imej sebenar motosikal namun ia memberikan petunjuk bahawa motosikal Aston Martin bakal memiliki rekaan yang stailo, kemasan yang sangat premium dan berprestasi tinggi.