Menurut wakil dari Gabungan Persatuan Pemandu Pengangkutan Darat Malaysia atau United Malaysian Drivers (UMD), Mohd Yusof Yahya, pihak Gabungan tidak terbabit dengan perhimpunan tersebut.
"Kami tidak bersetuju dengan cara perhimpunan haram kerana kami percaya masih ada ruang untuk perbincangan secara aman dan profesional," ujar beliau yang ditemuramah oleh Careta tadi.
"Pihak kementerian telah pun bersetuju untuk berjumpa dengan wakil-wakil pemandu pada 13 November kelak bagi membincangkan segala masalah-masalah yang dihadapi oleh pemandu, bukan oleh syarikat," terang beliau.
Di bawah ialah senarai isu-isu yang bakal dibincangkan bersama pihak Kementerian Pengangkutan:
- Pemeriksaan kesihatan
- Mata demerit
- Saman permit/majikan
- Had masa operasi jalanan
- Penyelarasan had Berat Dengan Muatan (BDM)
- Penyelarasan had ketinggian muatan
- Sikap pegawai agensi penguatkuasaan kerajaan
- Perbicaraan di mahkamah untuk saman
- Penggunaan aksesori tambahan seperti lampu sorot, lampu sisi dan beacon
- Penyelarasaan harga tambang untuk semua kenderaan komersil termasuk trak tunda
- Tangkapan dalam kawasan operasi pekerjaan (site)
- Sekatan jalanraya di simpang dan selekoh
- Kawasan parkir di R&R lebuhraya
Ada masalah-masalah tersebut sudah lama wujud tetapi tidak ada kata putus.
Namun begitu, tuduhan yang menyatakan pihak kementerian mengeluarkan undang-undang baharu disangkal oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.
"Tidak ada pembaharuan dasar untuk memperbaharui lesen memandu lori," ujar beliau kepada media awal bulan lalu.
Namun begitu, apa yang difahamkan kepada Careta ialah sesetengah undang-undang itu tidak begitu dipraktikan.
"Dahulu, beri sahaja pemeriksaan kesihatan, kita dah boleh perbaharui lesen GDL (lesen memandu kenderaan komersil)," ujar seorang pemandu lori yang ditemui Careta.
"Sekarang, secara tiba-tiba, mereka ikut prosiduer perundangan secara ketat. Macam mana pemandu hendak menampung belanja hidup jika tiba-tiba dia tak dapat perbaharui lesen kerana sebab kesihatan," sambungnya lagi.
Satu lagi isu yang juga pernah dibangkitkan ialah mata demerit di mana pemandu lori disaman kerana membawa barangan lebih muatan sementara majikan tidak dikenakan sebarang tindakan.
Industri logistik negara yang meibatkan pengangkutan awam memang perlu dikaji semua agar ia membabitkan beberapa perkara terkini seperti isu keselamatan, isu kepenggunaan, isu teknikal kenderaan, dasar yang turut menjadikan majikan atau syarikat kenderaan boleh dikenakan tindakan serta kadar pengeluaran asap.
Jika teknologi kenderaan boleh berubah dengan pantas, undang-undang juga perlu dirangka agar mengikut peredaran zaman dan tidak menindas mana-mana pihak, terutama pengguna.