Dengan pengenalan McLaren Elva, supercar tanpa bumbung dan cermin hadapan ini merupakan penawaran terbaharu di dalam siri Ultimate Series McLaren selepas model P1, Senna dan juga Speedtail.
Walaupun tanpa sebarang komponen asas yang mampu melindungi pemandu dan penumpang, McLaren Elva didatangkan dengan kejuruteraan aerodinamik yang serba bijak, digelar sebagai Active Air Management System (AAMS).
Sistem AAMS ini menggunakan komponen deflektor karbon mudah alih yang mampu mengalirkan udara berkelajuan tinggi dari hidung Elva ke arah belakang dengan mencipta sebuah 'gelembung aerodinamik' yang 'melindungi' pemandu dan penumpang, seterusnya menjadikan ruang kabin lebih selesa tanpa gangguan aliran udara itu tadi.
Sistem ini akan diaktifkan saat McLaren Elva memasuki ruang kelajuan yang tinggi, dan sekiranya anda tidak memerlukan sistem ini, ia boleh dimatikan supaya udara itu tadi disalurkan bagi menyejukkan ruangan enjin.
Sebut pasal enjin, McLaren Elva didatangkan dengan nadi bentangan V8 4.0 liter dengan kuasa 804 hp yang jauh lebih tinggi berbanding 720S.
Dengan berat bersih sekitar 1,198 kg sahaja terima kasih kepada casis gentian karbon, McLaren Elva mampu mencapai kepantasan pecutan 0-100 km/j bawah tiga saat dan 0-200 km/j dalam 6.7 saat sahaja.
Rekaan tempat duduk dipasang tegap terus kepada casis, dengan peralatan opsyen harness enam poin Ultrafabric untuk mereka yang inginkan sesuatu memegang erat badan ketika melayan litar di hujung minggu.
Segala kawalan terhadap trenkuasa dan pengendalian kenderaan boleh diakses terus menerusi kluster instrumen, manakala sistem skrin sentuh lapan inci di bahagian tengah memaparkan sistem navigasi, paparan kamera undur dan juga ciri kawalan suhu (ya!).
Aspek praktikaliti pula tidak dilupakan apabila McLaren tetap menyediakan ruang simpanan di bahagian belakang yang mampu memuatkan dua buah helmet pada satu-satu masa...
Bolehlah daripada tiada langsung bukan?