Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya mengesan aktiviti penyeludupan kambing jenis Boer itu yang menggunakan modus operandi baharu.
“Penyeludup menggunakan kenderaan pula untuk memindahkan ternakan yang dibawa masuk, menyeberangi Sungai Golok dengan perahu.
“Namun, hasil ketangkasan dan kawalan ketat anggota bertugas, kita berjaya menggagalkan cubaan mereka ketika sedang menarik kambing untuk dimasukkan ke dalam MPV jenis Toyota Unser.
“Bagaimanapun, sekumpulan lelaki yang melakukan kegiatan itu sempat melarikan diri dengan perahu ke negara jiran,” katanya pada sidang media di Markas Taktikal Lubok Stol Briged Tenggara PGA di Rantau Panjang, hari ini.
Azhari berkata, pemeriksaan anggota mendapati semua kambing itu disusun di tempat duduk penumpang belakang yang sudah dikosongkan.
“Kambing itu untuk pasaran tempatan dan semua rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Kes disiasat mengikut Seksen 11 (1) Akta MAQIS 2011,” katanya.
Sumber: Harian Metro