Had kelajuan yang diumumkan pada September tahun lalu akan meliputi 8 kilometer di dalam zon caj kesesakan termasuklah Millbank, Albert Embankment, Victoria Embankment dan Borough High Street.
Dalam masa yang sama, TfL akan turut menjalankan proses kalibrasi kamera pemantauan had laju di kawasan sentral London.
Pemandu yang didapati bersalah akan dikenakan demerit tiga mata kepada lesen memandu serta denda sebanyak £100 (RM542).
Secara purata, pasukan polis London memproses kira-kira 160,000 saman melebihi had laju setiap tahun, dan 42,000 daripadanya merupakan kesalahan yang dilakukan di kawasan yang mempunyai had laju 32 km/j.
Berdasarkan konsultasi umum yang dijalankan, ia ternyata menerima reaksi yang bercampur-campur di kalangan penduduk London, di mana separuh daripadanya mengakui ia akan memberikan kesan positif terhadap pengguna jalan raya terutama pejalan kaki.
Hanya 31 peratus daripada responden percaya ia akan menyebabkan pengguna beralih arah untuk berjalan kaki berbanding menggunakan kenderaan.
59 peratus responden pula percaya pelan ini akan menyebabkan lebih ramai pengguna jalan raya untuk menggunakan basikal di dalam bandar, manakala empat daripada 10 responden percaya ia akan memberikan kesan yang baik terhadap penggunaan pengangkutan awam.
TfL dalam satu laporan mengandaikan implementasi had laju 32 km/j itu akan memberikan kesan kepada pertambahan masa perjalanan untuk perkhidmatan London Buses, namun mendakwa impak tersebut adalah terlalu kecil.
Sumber: AutoExpress UK