Menerusi laman web Toy Barn, sebuah replika Batmobile yang dibina berdasarkan filem Batman tahun 1989 yang dilakonkan oleh Michael Keaton kini sedang mencari pemilik baharu.
Jentera Batmobile ini dikuasakan oleh enjin turbin Boeing yang diperoleh daripada dron militari anti-kapal selam yang berupaya menghasilkan 400 kuasa kuda.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi semi-automatik empat nisbah kelajuan.
Apa yang lebih menarik perhatian, replika Batmobile ini boleh dipandu di atas jalan raya tanpa perlu risau ditahan oleh pasukan polis, tidak seperti Batmobile yang ditahan tempoh hari.
Toy Barn turut menyebut bahawa kereta ini hanya menggunakan bahan api jenis kerosin atau Jet-A, dan tahap penggunaan bahan api pula tidak sejimat Myvi atau Proton anda yang dipandu perlahan dengan tingkap dibuka.
Untuk menjadikan ia sebuah Batmobile yang boleh berlagak, anda boleh mengaktifkan mesingan Browning palsu yang mampu memercikkan api dengan hanya menekan satu butang fungsi khas.
Untuk mengetahui harga jualan, anda boleh berhubung dengan Toy Barn untuk maklumat lanjut.
Sumber: Toy Barn