Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, suspek bersama seorang lagi rakan lelakinya sedang menaiki sebuah Proton Iswara Aeroback dari arah Manggatal ke Kota Kinabalu.
"Setibanya di Jalan Batu Tujuh, kereta suspek ditahan atas tujuan pemeriksaan PKP dan Op COVID-19. Ketika diperiksa, pemandu itu tidak memiliki lesen memandu menyebabkan anggota bertugas mengeluarkan saman".
"Suspek, kemudiannya keluar kereta lalu mempertikaikan tindakan polis dengan suara yang tinggi namun anggota polis menerangkan kesalahannya dengan baik serta mengikut prosuder," katanya.
Beliau berkata, susulan itu, suspek bertambah berang lalu meluru ke arah anggota polis bertugas dan mengeluarkan kata-kata kesat.
"Suspek turut dipercayai bertindak dengan agresif apabila tiba-tiba menumbuk bonetnya dengan kuat. Bagi mengawal keadaan, anggota kita yang berada di lokasi kemudiannya menahan suspek dan merampas kereta dipandunya," katanya.
Jelas Habibi, suspek kemudiannya ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas pejawat awam.
Tambah beliau, rakan suspek yang menumpang kenderaan itu dilepaskan polis dan kes tangkapan terbabit merupakan kejadian pertama melibatkan penahanan individu ketika PKP dan OP COVID-19 di Kota Kinabalu.