Walaupun masih sarat dengan pelekat samaran, sedan itu membawakan garis badan yang hampir serupa seperti yang diperlihatkan menerusi gambar paten yang terdedah beberapa ketika yang lalu.
Tidak seperti Honda Civic FC sedan yang hadir dengan rekaan ala-ala fastback, sedan generasi baharu ini dilihat membawakan rekaan sedan yang lebih normal - lihat garis but belakang yang lebih panjang.
Rekaan lampu hadapan juga serba baharu dengan garis lampu DRL LED yang lebih jelas, diikuti dengan rekaan lampu kabus berbentuk bulat.
Di bahagian belakang, rekaan lampu LED berbentuk L terbalik itu dilihat menggantikan peranan lampu berbentuk C (ketam) pada model sedia ada.
Apa yang tidak diketahui adalah nadi yang bakal menduduki perut Civic generasi baharu ini, adakah ia akan menampilkan nadi serba baharu atau kekal dengan penggunaan enjin sedia ada.
Untuk pasaran Malaysia, Civic generasi terkini datang dengan enjin 1.5 liter turbo empat silinder sebaris dengan kuasa setinggi 173 PS dan 220 Nm digandingkan dengan transmisi CVT.
Sebagai makluman, Honda Civic Prototype ini akan diperlihatkan secara rasmi pada 17 November ini, sementara model produksi dijangka akan dilancarkan bermula tahun hadapan.
Sumber gambar: CarScoops