Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sebelum kejadian keempat-empat kereta berkenaan dikesan telah melanggar lampu isyarat di Jalan Kota Syah Bandar.
Katanya, kesemua pemandu kemudian bertindak memecut kenderaan masing-masing dalam keadaan beriringan disyaki hendak menduga kelajuan dengan bersaing sesama sendiri menghala ke arah Jalan Kota Syah Bandar.
“Sepasukan anggota trafik terus mengekori saspek dari arah lampu isyarat Jalan Kota Syah Bandar ke arah Jalan Syed Abdul Aziz menghala masuk ke Jalan Kota Syah Bandar (Persisiran Pantai Eye On).
“Pada pukul 10.30 malam, kesemua empat pemandu lelaki telah berjaya ditahan di Jalan Kota Syah Bandar berhampiran dengan Jabatan Laut Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, seorang pemandu berusia 31 tahun merupakan seorang anggota ATM beralamat di Markas Tentera Darat Cawangan Sumber Manusia Kementah Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
“Dua lagi pemandu berusia 28 dan 31 merupakan peniaga manakala seorang lagi berusia 30 bekerja sendiri.
“Selain itu, kita mendapati kereta dipandu anggota ATM itu turut mempunyai seorang penumpang wanita berusia 26 tahun, manakala sebuah lagi kereta membawa wanita 24 tahun,” jelasnya.
Katanya, sebuah kenderaan telah disita, manakala kesemua empat pemandu kini direman empat hari sehingga 24 Februari mengikut Seksyen 42(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-K! ONLINE.